PULAI 27 Ogos – Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Abdul Hadi Awang mendakwa kemenangan calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai akan mengukuhkan perubahan kerajaan yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Beliau yang juga Presiden Pas berkata, PN memerlukan tambahan kerusi Parlimen itu bagi memastikan referendum rakyat menjadi isyarat penting bagi perubahan kerajaan.
“Ketika ini PN memiliki jumlah kerusi agak besar di Parlimen dan kerajaan boleh berubah pada bila-bila masa saja.
“Kita memerlukan tambahan kerusi ini (Parlimen Pulai) dan beberapa lagi (kerusi), jadi kita harap bersabar.
Kita minta ahli UMNO yang insaf juga supaya berani berubah. Ini kerana kerajaan akan berubah pada bila-bila masa, itu boleh berlaku, jangan bimbang,” katanya pada sesi dialog rakyat di Pejabat Pas Pulai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Naib Presiden Bersatu, Dr Radzi Jidin; Pengerusi PN Johor, Dr Sahruddin Jamal; Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman yang juga Ahli Parlimen Bachok dan calon PN bagi Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.
Pada 7 Ogos lalu, Abdul Hadi turut mendakwa kemenangan PN dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan membolehkan berlakunya perubahan dalam Kerajaan Persekutuan.
Menerusi keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan (PH) memiliki kerusi terbanyak di Parlimen dengan 82 kerusi, diikuti PN dengan 73 kerusi, manakala BN hanya menguasai 30 kerusi.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, momentum gelombang PN mula dirasai pada PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, berdasarkan sambutan pengundi ketika ceramah dan kempen diadakan.
“Perkembangan sangat positif apabila melihat sambutan apabila kita (PN) mengadakan ceramah dan kempen rumah ke rumah.
“Maklum balas daripada pengundi juga sangat baik, membuktikan gelombang PRU15 tidak berhenti, malah dapat dilihat dengan nyata pada PRN di enam negeri dan kini di dua PRK Johor,” katanya.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas akan mengadakan majlis dialog bersama Gerakan bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah agama.
Katanya, Pas sentiasa berhubung dengan Gerakan dalam membincangkan mana-mana isu berbangkit.
“Kita akan adakan dialog (dengan Gerakan), ini bukan kali pertama. Ia sentiasa dibuat. Itu (isu modul) cuma satu isu sahaja, banyak isu lain (yang juga diperbincangkan),” katanya selepas menghadiri program dialog itu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Pas akan memberi penjelasan mengenai modul itu kepada Gerakan yang mempertikaikan pelaksanaannya.
Sebelum ini, Gerakan yang juga komponen PN membantah pengenalan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah-sekolah kerajaan secara rintis kepada guru dan murid beragama Islam.
Malahan, parti tersebut bersedia membawa isu ini ke mahkamah sekiranya perlu, demi menegakkan kedaulatan undang-undang negara dan membela hak-hak orang bukan Islam.
