Rashidi wakil UMNO sertai Exco Pulau Pinang

TANJONG 16 Ogos – Selepas 15 tahun berada di luar kerajaan, wakil Barisan Nasional (BN) hari ini kembali menganggotai Kerajaan Negeri Pulau Pinang berikutan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Rashidi Zinol sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

BN sejak tahun 2008, berada di blok pembangkang selepas kerajaan yang diterajui Gerakan tumbang kepada gabungan DAP dan PKR.

Hari ini 10 ADUN, termasuk tujuh muka baharu mengangkat sumpah sebagai Exco di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, di Dewan Sri Pinang yang turut disaksikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Komposisi 10 Exco ini terdiri daripada tujuh ADUN DAP, dua PKR dan seorang dari BN.

Mendahului pelantikan, ADUN Batu Maung, Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Halim (PKR) yang menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 dan ADUN Datok Keramat Jagdeep Singh Deo (DAP) sebagai Timbalan Ketua Menteri 2.

Turut dilantik mewakili DAP adalah ADUN Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari; ADUN Paya Terubong, Wong Hon Wai; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, ADUN Jawi, H’ng Mooi Lye, ADUN Padang Lalang, Gooi Zi Sen dan ADUN Perai, Datuk Seri S Sundarajoo.

Seorang lagi wakil PKR yang mengangkat sumpah Exco adalah ADUN Pantai Jerejak Fahmi Zainol.

Sementara itu, Kon Yeow turut memegang portfolio Kewangan, Pembangunan Ekonomi dan Tanah dan Komunikasi manakala TKM 1 Dr Mohamad diberi portfolio  Pembangunan Agama Islam, Pendidikan Pengajian Tinggi, dan Perpaduan Masyarakat.

Timbalan Ketua Menteri 2 Jagdeep memegang portfolio Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi.

Exco tunggal dari BN, Rashidi diberi tanggungjawab portfolio Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar; Zairil Khir Johari ( Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital);  Wong Hon Wai (Pelancongan dan Ekonomi Kreatif); Lim Siew Khim (Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam).

H’ng Mooi Lye (Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa; Gooi Zi Sen (Belia, Sukan dan Kesihatan); S.Sundarajoo Perumahan dan Alam Sekita) dan Fahmi Zainol (Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi)

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN berjaya menguasai 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dengan DAP mengekalkan kemenangan di 19 kerusi ditandingi parti itu, manakala PKR menang tujuh daripada 13 kawasan ditandingi.

BN pula memperoleh dua kerusi dan Amanah mengekalkan satu kerusi iaitu Bayan Lepas.

Related posts

Leave a Comment