Barisan Exco Pulau Pinang direstui Pusat

TANJONG 16 Ogos – Kombinasi barisan Exco Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang yang melibatkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, dua PKR dan seorang Barisan Nasional (BN), direstui kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) dan BN peringkat Pusat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan, beliau memuktamadkan senarai itu petang semalam setelah ia mendapat persetujuan sebulat suara pemimpin komponen parti masing-masing dalam dua gabungan berkenaan.

“Saya cuma dapat memuktamadkan (senarai EXCO) setelah semua disampaikan kepada pemimpin parti peringkat Pusat. Bagi BN, nama yang dihantar seorang sahaja, jadi kita memberi pertimbangan berdasarkan nama yang dicadangkan.

“Amanah juga ada mencadangkan, tetapi keputusan parti seperti mana diumumkan dan kita akan mencadangkan Timbalan Speaker diperuntukkan kepada wakil Amanah,” katanya pada sidang media di Dewan Sri Pinang, hari ini.

Terdahulu 10 ADUN Pulau Pinang termasuk tujuh muka baharu mengangkat sumpah Exco di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, sambil disaksikan Kon Yeow yang juga Pengerusi PH negeri.

Kon Yeow berharap barisan Exco yang dilantik dapat menyesuaikan diri dengan portfolio masing-masing dan dapat bekerjasama serta berdiri teguh sebagai satu pasukan.

“Saya berharap dengan pasukan baharu, kita dapat meneruskan apa yang kita sudah lakukan. Yang penting, kita akan menilai semula berdasarkan isu-isu sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN), yang mana perlu ada penambahbaikan atau diperkukuhkan lagi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga ADUN Bertam,  Reezal Merican Naina Merican optimis banyak perkara boleh dilakukan parti dalam memainkan peranan menerusi pembentukan kerajaan PH-BN di Pulau Pinang.

“Saya berasa bersyukur kerana saya bersama Rashidi (ADUN Sungai Acheh, Rashidi Zainol) dapat menjadi penyumbang kepada perubahan Kerajaan Perpaduan. Insya-Allah, peranan kami di DUN nanti untuk pastikan segala kedudukan dan juga dasar-dasar kerajaan negeri ini akan dipertahankan semua ADUN.

“Saya anggap ini adalah peluang keemasan UMNO, tentulah banyak perkara boleh dilakukan. Sebagaimana kita tahu, dalam parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO mesti dilihat sebagai mewakili aspirasi kepentingan orang Melayu dan Islam, apatah lagi di kala banyak kerusi Melayu tewas,” katanya.

Katanya, peranan ADUN Melayu dalam Kerajaan Perpaduan amat penting dalam mewakili keseluruhan rakyat, terutamanya kaum Melayu dan kepentingan umat Islam di Pulau Pinang.

Related posts

Leave a Comment