Kelantan yakin hubungan baik kerajaan pusat

KOTA BHARU 16 Ogos – Kerajaan Kelantan yakin hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan kekal kukuh dengan semangat federalisme, kata Menteri Besar yang baru dilantik, Nassuruddin Daud.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan matang dan sejahtera dalam hubungan dengan kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri sentiasa mengambil pendekatan matang dan sejahtera dalam hubungan (baik) antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) demi kesejahteraan rakyat.

Pada masa sama, kita akan meneruskan dasar membangun bersama Islam (MBI) sebagai asas pentadbiran negeri seperti yang diamalkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Dasar ini terbukti meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran demi kemakmuran negeri dan kebajikan rakyat. Keadilan Islam terserlah dan kukuh kepada seluruh rakyat Kelantan. Ini kita akan terus pertahankan.

Saya mengharapkan sokongan semua pihak termasuk ahli-ahli yang berhormat, pegawai tadbir negeri serta seluruh penjawat awam, alim ulama, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Kelantan untuk bersama-sama mengukuhkan legasi MBI,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melaporkan diri di pejabatnya di bangunan Mabna di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Mengulas lanjut, Nassuruddin, berkata perkara yang menjadi keutamaan beliau adalah menjadi Menteri Besar untuk seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira latar belakang kaum dan sebagainya.

“Saya yakin barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang diperkenan dan dilantik oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V adalah saf yang seimbang dan terbaik dalam pelbagai bidang khususnya ulama, teknokrat dan profesional.

“Apa yang penting adalah konsep perbincangan yang menjadi asas kekuatan kepada kerajaan ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment