LAPAN bulan lalu Parlimen Permatang Pauh berubah kepada Perikatan Nasional (PN) dan Sabtu lalu, tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi kubu reformasi pula terlepas daripada cengkaman Pakatan Harapan (PH).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, ketiga-tiga DUN itu beralih kepada PN. DUN Permatang Pasir yang diwakili Amanah beralih kepada Pas manakala DUN Penanti dan DUN Seberang Jaya yang dikuasai PKR menjadi milik Bersatu.
November lalu, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN melalui calon Pas menamatkan penguasaan 40 tahun keluarga Anwar Ibrahim di kerusi Parlimen Permatang Pauh itu apabila Nurul Izzah kalah kepada Muhammad Fawwaz Mat Jan.
Nurul Izzah memperoleh 32,366 undi manakala Muhammad Fawwaz 37,638 undi, calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Mohd Said (16,971 undi) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang) hanya meraih 473 undi. Majoriti 5,272 undi
Nampaknya slogan PERMATANG PAUH BERUBAH yang dibawa oleh BN-UMNO ketika kempen memenangkan calon BN pada PRU lalu benar-benar menjadi kenyataan walaupun kesudahannya UMNO sekadar menjadi saksi perubahan itu.
Kekalahan itu sudah tentu di luar jangkaan PKR dan Amanah lebih-lebih lagi selepas UMNO bersama di pentas kempen PRN bagi memenangkan calon-calon PH. Malahan gerak kerja kempen PH-BN nampak lebih hebat sambutannya.
Anwar sendiri yakin gabungan itu akan memberi kemenangan bergaya di Pulau Pinang tetapi yang menyerlah hanya DAP yang menang semua 19 kerusi berbanding PKR (7), Amanah (1) dan BN (2). PN pula menang 11 kerusi.
Fakta di atas kertas, tidak ada sebab gabungan PHBN tidak boleh membantu kemenangan calon-calon PH (UMNO tidak ada kerusi) seterusnya mengukuhkan kedudukan PH di Permatang Pauh seperti dihasratkan Anwar sebagai Presiden PKR.
Bagaimanapun sambutan semasa kempen tidak menjamin kemenangan seperti ingatan Presiden Amanah, Mohamad Sabu @ Mat Sabu semasa Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Seberang Jaya.
Katanya, semasa kempen PRU15, sambutan yang diterima juga hebat tetapi sampai pada hari mengundi Nurul Izzah kalah.
“Kalau kali ini tiga Dewan Undangan Negeri dalam Permatang Pauh menang kepada Perikatan Nasional, aku tak mau balik kampung, malu nak balik,” kata Mat Sabu secara berseloroh ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani.
Nasib baik kata-kata Mat Sabu itu bukannya satu sumpah, jika tidak, tak berkesempatanlah beliau balik kampung di Guar Petai.
Daripada tiga kerusi itu, Permatang Pasir kembali ke pangkuan Pas apabila Faiz Fadzil (PH-Amanah) gagal mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.
Anwar adalah antara pengundi bagi DUN Permatang Pasir.
Faiz sebelum ini menang dengan memperoleh 9,708 undi mengalahkan calon Pas (6,727) dan BN (4,979). Kali ini Amir Hamzah (PN-Pas) menang dengan majoriti 3,108 undi selepas mendapat 13,526 undi manakala Faiz 10,418 undi.
Di Seberang Jaya, PKR gagal mempertahankan kerusi itu apabila, anak mantan ADUN semasa era BN, Izhar Shah Arif Shah menang dengan majoriti 4,926 undi. Beliau memperoleh 20,877 undi manakala Johari Kassim (PH-PKR) 15,951 undi.
Pada PRU lalu Dr Afif Bahardin yang kemudiannya menyertai Bersatu menang dengan memperoleh 16,014 undi mengalahkan calon BN (8,593) dan Pas (5,540).
Kubu kuat PKR di DUN Penanti juga roboh apabila, Zulkefli Bakar (PN-Bersatu)
membuat kejutan mengalahkan Ustaz Rosidi Hussain dengan majoriti 3,575 undi selepas memperoleh 12,586 undi berbanding lawannya, 9,011 undi.
Sebelum ini, Dr Norlela Ariffin yang mewakili Penanti selama tiga penggal memperoleh 8,221 undi mengalahkan calon BN (5,277) dan Pas (4,791).
Kekalahan 3+1 ini boleh dianggap luar biasa dan memberi tamparan hebat kepada PKR pimpinan Anwar. Walaupun tidak lagi mewakili Permatang Pauh tetapi di situlah beliau bangkit dalam politik dan sehingga kini masih setia sebagai pengundi di Permatang Pauh.
Apakah yang menyebabkan pengundi Permatang Pauh memberi mesej sedemikian? Di mana silapnya sehingga kesemua kerusi ditelan gelombang hijau biru walaupun kempen PH nampak lebih agresif sebagai sebuah kerajaan.
Mungkin dalam tempoh lapan bulan pengundi atau penyokong parti belum dapat menerima gabungan PHBN atau penyokong secara diam-diam protes sama ada tidak memilih PHBN, hadir mengundi tetapi tidak memilih (undi rosak) atau tidak keluar mengundi.
Pengundi masih keliru, bosan atau meluat dengan percaturan politik pemimpin yang mengecam satu sama lain semasa PRU lalu tetapi pada PRN membuat pusingan U. Kepincangan BN, UMNO,PH disimpan dan dicari keburukan Pas dan Bersatu.
Bagi UMNO pula masih terkesan dengan No Anwar, No DAP, No Bersatu serta pelbagai ‘lakonan’ pemimpin yang membuatkan pengundi kecewa.
Bagaimanapun UMNO Permatang Pauh tidak mendapat tempat pada PRN kali ini, walaupun sepatutnya PH boleh mempertimbangkan satu kerusi sebagai tanda perpaduan. Apa pun UMNO sudah diuji pada PRU lalu bagi kerusi Parlimen.
Mungkin ada hikmahnya supaya UMNO tidak dimalukan lagi ketika gelombang hijau biru menyapu bersih kerusi PH di Permatang Pauh
Sehingga PRU akan datang, jika BN masih bersama dengan PH, mungkin percaturan agihan kerusi berbeza apabila ketika ini satu kerusi Parlimen dan tiga DUN bukan milik PKR, Amanah atau DAP. Maka ia terbuka untuk semua parti.
Dan sehingga tempoh berakhirnya penggal ini, sementara menunggu gelanggang pertarungan dibuka semula, masing-masing bolehlah terus bekerja dan berusaha memenangi hati rakyat seperti dilakukan Mohd Zaidi selama ini walaupun beliau bukan wakil rakyat, hanya Ketua UMNO bahagian Permatang Pauh.
