PUTRAJAYA 27 Julai – Pencalonan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh, Harrisson Hassan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mewakili Perikatan Nasional (PN) bukan kejutan, kata Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata, beliau sudah mendengar khabar angin mengenai perkara itu sejak sebulan lalu dan malam tadi disahkan apabila nama Harrisson diumumkan untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram.
“Kita mendengar khabar angin mengenai perkara itu kira-kira sebulan yang lalu, tetapi apabila ia disahkan untuk bertanding atas tiket parti lain, maka mengikut Perlembagaan UMNO dan juga peraturan dalam Lembaga Disiplin parti, secara automatik tergugur keahliannya,” katanya di sini hari ini.
Ditanya sama ada Harrisson sudah meninggalkan UMNO sebelum diumumkan sebagai calon PN, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mempunyai maklumat berkenaan.
“Saya sudah dengar sebulan lebih awal, saya tidak terkejut. Kita hanya memerlukan ahli yang taat kepada parti mengikut peraturan parti, jika mereka lebih taat kepada parti lain, eloklah pilihan itu dibuat oleh mereka,” katanya.
Berikutan pencalonan itu, setakat ini Harrisson akan berhadapan dengan Ketua UMNO bahagian Kuala Selangor Jahaya Ibrahim yang akan mewakili BN. Untuk rekod kerusi ini dimenangi PKR pada PRU lalu.
Mengenai khabar angin bahawa UMNO menuntut jawatan Timbalan Menteri Besar Selangor dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sekiranya memenangi PRN, Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menegaskan, sebarang perbincangan berhubung kerajaan negeri perlu diputuskan selepas hari mengundi pada 12 Ogos ini.
“Kita yakin apa yang penting ialah sekurang-kurangnyanya tiga negeri yang sedia ada di bawah Kerajaan Perpaduan untuk memenangi semula negeri berkenaan.
“Jangan pernah terfikir untuk lebih daripada memenangi kerusi-kerusi yang sudah diperuntukkan kepada parti.
“Tiga negeri yang bukan di bawah Kerajaan Perpaduan, kita mesti berusaha dengan lebih kuat dan penuh kebijaksanaan politik untuk kita meraih dukungan daripada pengundi di negeri berkenaan,” katanya.
