BATU KAWAN 27 Julai – Menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini, bekas Ketua Cawangan DAP Batu Kawan, David Marshel mengumumkan akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Prai sebagai calon Bebas pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Beliau yang keluar DAP semalam akan berkempen dengan ‘tagline’ Menyelamatkan Pulau Pinang daripada Lim Guan Eng’.
David bagaimanapun menjelaskan walaupun akan menentang calon DAP pada PRN itu, beliau akan tetap menyokong Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan akan mempertahankan kedudukan Pengerusi DAP negeri itu.
“Saya sudah bersama DAP selama 15 tahun, setia kepada parti dan berkhidmat kepada rakyat tanpa jemu.
“Namun, senarai calon DAP kali ini menyakitkan hati dan saya tidak kisah apabila terpaksa berkorban untuk menyelamatkan parti dan terus menyokong Kon Yeow walaupun sebagai calon Bebas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mendakwa terdapat usaha untuk mengenepikan Kon Yeow sebagai Ketua Menteri dan ia dijangka bermula dengan pemilihan jawatankuasa parti yang akan berlangsung pada tahun depan.
Untuk rekod, sebelum pengumuman calon, timbul pelbagai spekulasi kononnya Kon Yeow akan diganti oleh calon lain jika PH-BN menang PRN di Pulau Pinang.
David mendakwa senarai calon PRN kali ini telah menyingkirkan penyokong-penyokong Kon Yeow malahan namanya sebagai calon pilihan jika penyandang DUN Perai P.Ramasamy digugurkan juga dipinggirkan.
“I love this party but i don’t love any leaders in this party especially Lim Guan Eng, dia tak hormat akar umbi parti,’’ dakwanya yang turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada hari sama.
Beliau pada masa yang sama menasihatkan ahli DAP yang turut menyokongnya tidak meninggalkan parti sebaliknya supaya tunggu dan bantu Kon Yeow sehingga pemilihan jawatankuasa parti.
