Presiden Gerakan calon PN di Bayan Lepas

KUALA LUMPUR 27 Julai – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan bahawa Presiden Gerakan  Dr. Dominic Lau Hoe Chai sebagai calon PN N.38 Bayan Lepas pada Pilihan Raya Negeri ((PRN) pada 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan media berjata, pencalonan itu dipersetujui oleh Majlis Presiden PN.

“Adalah dimaklumkan bahawa Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, Presiden Parti Gerakan merupakan calon Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.38 Bayan Lepas, Pulau Pinang, setelah dipersetujui oleh Majlis Presiden Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Ketika pengumuman calon PN malam tadi, nama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang itu tidak diumumkan walaupun senarai yang diperoleh menunjukkan Lau akan bertanding di kawasan yang sebelum ini ditandingi Pas.

Sebelum ini tular dakwaan Lau akan bertanding di DUN Telok Ayer Tawar yang juga kerusi majoriti Melayu dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor, yang mencetus bantahan dalam kalangan Pemuda Pas di kawasan itu.

Begitu juga tular dakwaan jentera Pas Bayan Lepas akan menutup bilik gerakan operasi sekiranya Lau bertanding di kerusi DUN itu yang tradisinya ditandingi Pas.

Hari ini, beliau dikatakan akan ke kerusi Machang Bubok menggantikan calon asal yang diumumkan malam tadi iaitu Ahli Jawatankuasa Pemuda Gerakan Pusat, Tan Hum Wei.

Berikutan khabar itu, nama Yang Dipertua Pas Bayan Baru merangkap Setiausaha Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim, pula disebut akan bertanding di DUN Bayan Lepas.

Related posts

Leave a Comment