LOS ANGELES: Gelombang haba melampau yang terus melanda Amerika Syarikat (AS) meletakkan lebih 80 juta penduduk atau hampir satu pertiga daripada penduuduk dalam amaran haba.
Suhu tiga angka dijangka memberi kesan kepada penduduk di Barat dan Selatan negara itu, dengan beberapa bandar dijangka memecahkan rekod haba pada hujung minggu akan datang, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) AS.
Nasihat haba, amaran haba melampau dan pemantauan haba tinggi dikeluarkan untuk negeri -negeri California, Nevada, Arizona, New Mexico, Louisiana, Texas, Arkansas, Mississippi, Alabama, Oklahoma dan Florida.
Menurut laporan, suhu di beberapa kawasan padang pasir melonjak melepasi 120 darjah Fahrenheit pada siang hari dan kekal pada tahap 90 darjah semalaman.
Suhu di Death Valley California mencecah setinggi 128 darjah Fahrenheit (53.33 darjah Celsius) pada Ahad, menurut NWS.
Gelombang haba merupakan antara keadaan cuaca ekstrem yang melanda Amerika Syarikat selain ribut petir, ribut tropika dan asap kebakaran yang turut memberi kesan kepada beberapa kawasan di negara itu.
Sebelum ini pada 3 Julai Pusat Ramalan Alam Sekitar AS mencatatkan rekod baharu untuk hari paling panas, di mana purata suhu dunia pada tarikh itu mencecah 17.01 Celsius (62.62 F), mengatasi rekod sebelum ini, iaitu 16.9 Celsius yang dicatatkan pada Ogos 2016.
Dari Amerika Utara hingga ke Eropah, Asia dan Timur Tengah, banyak negara sedang bergelut dengan suhu yang terik.
Mexico turut terjejas teruk, dengan suhu melebihi 40 Celsius (104F) yang menyaksikan lebih 110 orang terkorban akibat suhu tinggi.
United Kingdom (UK) mengalami cuaca paling panas pada Jun, sejak penyimpanan rekod bermula pada 1884. Suhu purata ialah 15.8 Celsius (60.44F), hampir satu darjah lebih tinggi daripada paras tertinggi sebelum ini.
Iran, yang terkenal dengan musim panas terik, menyaksikan suhu mencecah 50 Celsius (122F) di beberapa kawasan.
Di Sepanyol, suhu melonjak ke 44 Celsius (111.2F) sepanjang bulan Jun, menyebabkan lapan daripada 17 pentadbiran autonominya mengeluarkan amaran.
Pakistan dan India turut terkesan akibat musim panas. Insiden berkaitan strok haba meragut sekurang-kurangnya 22 orang di Pakistan, manakala lebih 150 kehilangan nyawa di India.
China juga telah mengalami hari paling panas dalam tempoh enam dekad, dengan suhu mencecah sehingga 40 Celsius (104F).
