Isu kenyataan MB Kedah belum selesai

SEPANG 17 Julai – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, dalam satu ceramah yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor, sebagai masih belum selesai.

“Perkara ini masih belum selesai,” titah baginda menerusi kenyataan ringkas yang dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda sebelum itu menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Pertemuan secara berasingan itu membincangkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Sanusi dalam satu ceramah beliau di Selangor baru-baru ini, yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor.

Gambar Sultan Selangor berkenan menerima menghadap kedua-duanya turut dikongsi menerusi akaun berkenaan.

Semalam, Muhammad Sanusi memohon ampun kepada Sultan Sarafuddin menerusi warkah kepada baginda yang diutuskan, kelmarin.

Bagaimanapun, permohonan maaf itu tidak bermakna siasatan polis ke atas lebih 57 laporan yang dibuat ke atas Muhammad Sanusi dihentikan.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata siasatan terhadap Menteri Besar Kedah itu tidak akan dihentikan, walaupun beliau sudah membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor.

Polis menyiasat Muhammad Sanusi berkaitan 3R (agama, bangsa, institusi diraja) berkenaan, dilakukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Related posts

Leave a Comment