Umrah Andalusia musim 1445H bermula

SEPANG 17 Julai – Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) melancarkan penerbangan pertama umrah musim 1445H awal pagi ini dengan membawa 88 jemaah, 50 daripadanya wanita.

Kumpulan pertama jemaah yang menggunakan visa pelancong ini berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Jeddah seterusnya ke Taif untuk lawatan singkat dan kemudiannya memasuki Makkah.

Ini bermakna mereka tidak perlu niat umrah miqat di dalam pesawat seperti kebiasaan penerbangan ke Jeddah sebaliknya berbuat demikian ketika di Masjid Qarnul Manazil dekat Taif.

Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel, Ida Riswana Idris dan Pengarah Urusannya, Ibrahim Mat Sin hadir memantau dan mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan jemaah itu.

Menurut Ida Riswana, pada musim baharu ini, Andalusia menawarkan hampir 70,000 tiket penerbangan yang melibatkan deposit sudah dijelaskan hampir RM25 juta.

Mengikut rekod, Andalusia sudah menandatangani perjanjian dengan beberapa syarikat penerbangan bagi menjamin tempat duduk jemaah termasuk bersama Penerbangan Malaysia, Saudi Airlines, Air Arabia dan Turkish Airlines.

Begitu juga dengan penginapan di Makkah dan Madinah yang sudah terjamin berikutan perjanjian dengan pihak hotel di kedua-dua Tanah Suci itu.

Ida Riswana berkata, setakat ini hampir 21,000 jemaah telah berdaftar dengan Andalusia Travel bagi pakej umrah 1445 Hijrah yang brosurnya dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.

Menurut beliau, Andalusia Travel bagi kumpulan pertama ini memilih penerbangan Saudi Airlines dan jemaah umrah tersebut akan dibahagikan kepada dua kumpulan.

Satu daripadanya adalah jemaah yang mengambil pakej jarak dekat yang tinggal di hotel Safwah Royale Orchid dan satu lagi kumpulan yang mengambil pakej tinggal di hotel Al-Olayan yang merupakan pakej sederhana.

Tambah beliau, bagi kumpulan pertama ini, Andalusia Travel terpaksa menggunakan visa pelancong memandangkan visa umrah belum lagi dibuka untuk negara ini.

Untuk rekod, masih ramai jemaah haji termasuk dari Malaysia yang berada di tanah suci Makkah dan Madinah selepas mereka selesai menunaikan ibadah haji baru-baru ini.

Related posts

Leave a Comment