PUTRAJAYA 2 Julai – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing akan merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dalang penyebaran video kekecohan di KLIA kelmarin..
Katanya , satu siasatan terperinci perlu dilakukan berhubung penyebaran video kekecohan yang mendakwa beliau menyalahguna kuasa di KLIA.
Menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebooknya, King Sing mendakwa, penyebaran video itu adalah tindakan sengaja untuk menutup kesalahan serta aktiviti rasuah yang berlaku di balai ketibaan berkenaan.
“Punca tular ini saya boleh sahkan 100 peratus daripada Imigresen sendiri kerana saya berada dalam pejabat imigresen,” katanya.
Beliau berkata, dalang yang mengambil dan menyebarkan video berkenaan perlu disiasat kenapa melakukannya dan menyebarkan berita yang tidak benar.
King Sing menjelaskan, beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasa untuk membebaskan wanita asing seperti yang didakwa, sebaliknya mendakwa pelancong dari China itu ditahan Jabatan Imigresen tanpa sebarang sebab.
Katanya, wanita itu ditahan kerana didakwa tidak mempunyai butiran tempat tinggal dan tiada tiket pulang semula ke negara asal sedangkan butiran berkenaan tersimpan di dalam telefon bimbit milik wanita terbabit yang ketika itu dirampas oleh pegawai Imigresen.
“Saya cuma mahu tanya pegawai Imigresen, kenapa dia merampas telefon orang sedangkan mereka tiada kuasa untuk melakukan rampasan barangan atau harta, melainkan ada kesalahan (yang terbukti).
“Macam kes wanita ini, dia bukan bebas disebabkan saya dan tiada alasan untuk menahannya. Cuma Imigresen kata dia tiada tempat tinggal dan ‘return ticket’, tetapi semua itu di dalam telefon bimbit itu (yang dirampas). Dia juga datang (masuk ke Malaysia) dengan orang atasannya,” katanya.
Mengulas lanjut, King Sing berkata beliau hadir di pejabat Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang kelmarin itu selepas menerima terlalu banyak aduan mengenai halangan untuk pelancong masuk ke negara ini.
Katanya, kebanyakan aduan yang diterima adalah mengenai penahanan tanpa alasan atau kesalahan yang tidak dijelaskan kepada pelancong asing dan lebih memburukkan keadaan kegagalan untuk berkomunikasi dengan baik.
“Saya sudah minta Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk membantu dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Arab. Dia (penterjemah) mestilah dalam berbilang bahasa.
“Saya juga difahamkan mereka yang pandai bercakap dalam bahasa Mandarin juga sudah bersedia, tetapi pihak Imigresen selalu tidak mahu guna. Bila ada (pelancong asing) tidak boleh berkomunikasi, mereka bawa masuk ke Pusat Tahanan Imigresen,” katanya.
King Sing juga mendakwa, beliau turut dimaklumkan terdapat pegawai ‘tiga paku’ yang boleh membebaskan wanita itu sekiranya membayar sejumlah wang.
“Pada masa sama, wanita itu memberitahu dia perlu membayar RM3,000 untuk dilepaskan dan RM3,000 lagi untuk masuk bila-bila masa serta RM12,000 untuk bayaran memproses visa.
“Ini bukan undang-undang Kerajaan Perpaduan, ada tol untuk dilepaskan Imigresen,” katanya.
