PM seolah-olah tahu semua KXP – Sanusi

ALOR SETAR 1 Julai – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor membidas keengganan Anwar Ibrahim mendengar penjelasan mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dirancang sejak sembilan tahun lalu.

Beliau berkata, Perdana Menteri sebaliknya membuat kenyataan seolah-olah mengetahui semua berkaitan projek itu.

Sanusi juga percaya Anwar yang juga Menteri Kewangan kemungkinan besar hanya mendengar penerangan mengenai KXP daripada pihak tertentu yang sememangnya diketahui umum menentang projek itu.

Katanya, semua hal yang menjadi alasan kepada Perdana Menteri untuk mengelak kelulusan itu sudah pun ditangani.

“Perkara itu ditangani melalui beberapa siri sesi libat urus dan perundingan Jawatankuasa Teknikal KXP Airportcity (syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Kedah) sebagai pemaju Kedah Aerotropolis dengan semua jabatan dan agensi berkaitan sejak sembilan tahun lalu.

Laporan berkenaan juga telah beberapa kali disediakan dan dibentangkan oleh konsultan dilantik KXP Airportcity dan Unit Perancang Ekonomi (di Jabatan Perdana Menteri) sebelum ini,” katanya melalui kenyataan di Facebook.

Semalam di Permatang Pauh,  Anwar menyangkal dakwaan Kerajaan Persekutuan menindas mana-mana negeri dalam soal penyaluran peruntukan mahupun pembangunan termasuk dalam isu pembinaan KXP di Kedah.

Anwar berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang memerlukan kajian teliti sebelum boleh dilaksanakan kerana ia membabitkan beberapa aspek penting terutamanya keselamatan negara, selain perlu melalui prosedur dan peraturan tertentu.

“Perlu tanya TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) boleh lepas atau tidak zon penerbangan…ada yang kata Tan Sri Syed Mokhtar (Albukhary) akan bayar (projek pembinaan KXP) dan saya tanya dia kalau nak buat kenapa tak beritahu saya.

“Syed Mokhtar jawab kepada saya, abang, saya tiada cadangan nak buat lapangan terbang, ada banyak kerja dah.

“Lapangan terbang ini bukan boleh bagi senang-senang nak buat…ia sentuh soal keselamatan negara, kalau nak jadi pemimpin kena reti (pandai) sikit, kena ngaji lebih daripada orang lain,” kata Anwar.

‘The Airport Man’ terajui Jawatankuasa Teknikal Kedah Aerotropolis

Muhammad Sanusi berkata, Jawatankuasa Teknikal pembangunan Kedah Aerotropolis diketuai individu berpengalaman iaitu Tan Sri Ir Dr Jamilus Husin yang mengetuai pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) satu masa dulu.

Katanya, Dr Jamilus sangat memahami selok belok, keperluan dan kaedah membina dan mengendalikan projek itu dan beliau yang juga salah seorang Ahli Lembaga Pengarah KXP Airportcity diberi jolokan ‘The Airport Man’ dalam dunia pembangunan lapangan terbang.

“Tentang pembiayaan, tokoh korporat disebutkan Perdana Menteri kononnya tidak berhasrat membiayai projek itu juga sebetulnya tidak terbabit sebagai pemaju selepas gagal menjawab surat dikemukakan oleh Jawatankuasa Kewangan dan Tender Kedah Aerotropolis.

“Beliau hanyalah salah satu pihak daripada berpuluh-puluh syarikat yang telah mengemukakan proposal dalam RFP (Notis Cadangan Pelawaan) yang dilaksanakan.

“Walaupun beliau yang memohon untuk terbabit melalui kaedah RFP dan hadir dalam proses saringan, namun beliau gagal menjawab dalam tempoh ditetapkan, selepas Anwar ‘memberi bayangan’ dalam pembentangan Belanjawan Negara 2023. Beliau sudah menjadi sebahagian daripada sejarah,” jelas beliau.

Muhammad Sanusi berkata, kini sudah ada pihak lain yang akan membiayai projek KXP namun tidak mendedahkan nama syarikat berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Besar itu dilapor berkata, Anwar harus mengetepikan ‘kepentingan peribadinya’ dan mempercepatkan kelulusan pembinaan KXP.

Muhammad Sanusi berkata, beliau sudah berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan projek itu yang terletak dalam perbandaran Kedah Aerotropolis.

Related posts

Leave a Comment