SEREMBAN 28 Jun – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi akan dibubar pada 1 Julai ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menteri Besar, Aminuddin Harun, memaklumkan demikian selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Terdahulu, Aminuddin menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pukul 10 pagi ini di Istana Hingap.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU), Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan daripada Barisan Nasional (BN) selepas memenangi 20 daripada 36 kerusi DUN, manakala BN hanya memperoleh 16 kerusi.
Tempoh mandat bagi DUN Negeri Sembilan akan berakhir 30 Jun ini.
Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN pada tahun ini selain Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.
Tiga negeri membubarkan DUN hari ini iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu manakala Kelantan dibubarkan 22 Jun dan Selangor 23 Jun.
Sementara itu, kedudukan terkini kerusi DUN Pulau Pinang sehingga pengumuman pembubaran ialah Pakatan Harapan (PH) memiliki 33 kerusi, Barisan Nasional (BN) (dua), Bersatu (empat) dan Pas satu kerusi.
Di Terengganu pula, pada PRU14, Pas kembali merampas pemerintahan negeri daripada BN, selepas berjaya memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala BN hanya memperoleh 10 kerusi.
Kedah pula sehingga pembubaran merekodkan Perikatan Nasional (PN) menguasai 20 kerusi terdiri daripada Pas (14) dan Bersatu (enam), manakala PH (10) manakala BN dan Pejuang masing-masing dua kerusi.
Dua lagi kerusi kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun dari PKR Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lepas, selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, sementara ADUN Belantek dari Pas Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia, pada 14 Jun lalu.
Pas yang memerintah Kelantan sejak 1990, memenangi 37 daripada 45 kerusi DUN, sementara BN memperoleh lapan pada pilihan raya umum ke-14.
Bagaimanapun, ADUN Ayer Lanas Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar daripada UMNO pada 18 September 2018, sebelum menyertai Bersatu pada 26 Oktober tahun yang sama.
Komposisi DUN Selangor sehingga pembubaran terdiri PH (40), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala Pas, Pejuang, Warisan dan Bebas masing-masing satu kerusi, sementara satu kerusi iaitu DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.
