Keputusan The Hague sahkan pendirian Malaysia

PUTRAJAYA 28 Jun –  Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague, yang menolak permohonan Kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan tuntutan anugerah sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia, dibuat melalui proses timbang tara secara tegas berdasarkan tiga alasan penghakiman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata tiada Anugerah Akhir yang boleh diberikan secara sah disebabkan pembatalan pelantikan Dr Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara oleh mahkamah Sepanyol yang sebelum itu melantiknya, seterusnya membatalkan semua tindakan prosedur oleh Stampa.

Selain itu, mahkamah juga memutuskan bahawa perjanjian 1878 tidak mempunyai klausa timbang tara yang sah memandangkan klausa yang merujuk kepada Konsul General Borneo untuk menyelesaikan apa-apa pertikaian tidak boleh disifatkan sebagai satu klausa timbang tara.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, Mahkamah Rayuan Belanda juga mendapati Anugerah tersebut tidak dapat diiktiraf dan dikuatkuasakan di Belanda berikutan penangguhan pelaksanaan Anugerah Akhir di Paris.

Azalina berkata, keputusan itu mengesahkan pendirian Malaysia bahawa timbang tara palsu tidak sepatutnya berlaku, yang mana ia tidak sah daripada awal dan Anugerah Akhir yang dikatakan adalah batal serta tidak sah.

Justeru, beliau berkata, pihak yang menuntut tidak boleh bergantung kepada Anugerah Akhir yang dikatakan diterima itu untuk percubaan merampas aset Malaysia di Belanda dan penghakiman penting kelmarin, kemungkinan akan menjadikan sebarang percubaan tidak sah oleh penuntut sia-sia serta kepada pembiaya mereka untuk menguatkuasakannya dalam bidang kuasa lain.

“Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague menandakan pencapaian Malaysia dalam usahanya mencabar undang-undang bagi menghalang penguatkuasaan anugerah yang dikatakan itu pada peringkat global, iaitu ancaman kepada keseluruhan sistem timbang tara antarabangsa.

“Pada masa sama, Kerajaan Malaysia sudah mengambil langkah perlu untuk mendapatkan pembayaran kos diperintahkan terhadap pihak yang menuntut, susulan keputusan Mahkamah Rayuan di Paris pada 6 Jun lalu, yang menyokong tindakan Malaysia mencabar ‘Anugerah Awal’ oleh Stampa sebelum ini, mengenai bidang kuasa,” katanya.

Azalina juga menegaskan, kerajaan akan memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan Malaysia dilindungi dan dipertahankan sepanjang masa.

Semalam, Mahkamah Rayuan The Hague menolak permohonan Kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan tuntutan anugerah sebanyak AS$14.9 bilion terhadap Malaysia, yang dikatakan melalui proses timbang tara pada Februari tahun lalu.

Individu yang mendakwa waris Sulu dianugerahkan AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) oleh mahkamah timbang tara di Paris, selepas mereka bertindak menuntut pampasan bagi tanah di Sabah yang didakwa dipajak nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.

Susulan keputusan itu, kumpulan Sulu dilaporkan membuat beberapa tindakan, termasuk cuba merampas aset Petronas di Luxembourg, aset di Belanda dan juga menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis, termasuk sebahagian daripada kedutaannya.

Related posts

Leave a Comment