PM setuju isu kalimah Allah dibawa ke MKI

SHAH ALAM 7 Jun – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membawa isu kalimah Allah kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada Ogos depan sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja (MRR).

Menurut kenyataan Istana Alam Shah, persetujuan itu disepakati selepas Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi MKI menerima menghadap dan mengadakan perbincangan dengan Anwar di Istana Bukit Kayangan di sini, tengah hari ini.

Baginda percaya pandangan MKI adalah penting untuk dimajukan kepada MRR pada Oktober ini dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri menyembah taklimat berhubung keputusan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland lawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

“Beta disembah maklum berhubung komitmen Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Anwar yang akan merujuk isu ini kepada MRR bagi penetapan dasar berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.

“Dalam perbincangan itu, beta selaku Pengerusi MKI menyuarakan pandangan yang juga dipersetujui Yang di-Pertuan Agong, bahawa perkara ini perlu dibawa terlebih dulu kepada MKI untuk dibincangkan selaras dengan fungsi MKI yang bertanggungjawab menasihatkan Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam pada peringkat Persekutuan,” titah baginda.

Baginda juga berpandangan, perkara ini membabitkan sensitiviti agama di Malaysia, dan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini perlu dimuktamadkan segera oleh Kerajaan Malaysia dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.

Sultan Sharafuddin turut meminta semua pihak menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam.

“Penyelesaian bagi isu ini perlu dibuat berhati-hati berteraskan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan agama Islam sebagai agama Persekutuan tanpa memprejudis hak orang lain untuk menganut dan mengamalkan agama selain agama Islam dengan aman.

“Beta juga meminta semua pihak tidak mempolitikkan, membangkitkan atau membahaskan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini lagi sehingga MRR membuat ketetapan muktamad mengenainya.

“Ini untuk memastikan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia kekal utuh demi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi negara ini,” titah baginda.

Sementara itu, Anwar dalam kenyataan berkata , Kerajaan Persekutuan menghormati undang-undang yang berkuat kuasa di negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Negeri dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri serta peranan MRR menentukan perkara berkaitan agama Islam pada peringkat Persekutuan.

Katanya, beliau menghormati pandangan Sultan Selangor yang selari dengan keputusan Jemaah Menteri pada bulan lalu bahawa isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada MKI yang berperanan menasihati MRR.

“Justeru, Kerajaan Persekutuan memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang mengehadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan juga memberi komitmen untuk memperkemas dasar sedia ada berdasarkan ketetapan MRR yang akan diangkat sebagai suatu dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment