SEREMBAN 7 Jun – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan pada 30 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (DUN), kata Menteri Besar, Aminuddin Harun.
Katanya, beliau akan mempersembahkan perkara itu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam masa terdekat.
“Saya dah bagi tahu awal bahawa kita akan bubar (DUN) pada 30 Jun ini, bermakna 1 Julai itu tiada lagi (kerajaan negeri ini),” katanya sambil menjelaskan DUN Negeri Sembilan akan terbubar dengan sendirinya pada 2 Julai tahun ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Bilik Gerakan Wisma Negeri di sini, hari ini.
Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN termasuk Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) memenangi 20 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan manakala bakinya iaitu 16 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).
Sebelum ini, kerajaan Negeri Selangor mengumumkan DUN negeri itu terbubar secara automatik pada 25 Jun ini selepas tempoh penggal berakhir.
