KUALA LUMPUR 7 Jun – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 bermula hari ini dengan menyaksikan kehadiran pemimpin termasuk dalam kalangan sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO membabitkan 191 bahagian dari seluruh negara.
Perhimpunan kali ini dijangka menyaksikan kehadiran 6,341 perwakilan sayap daripada 191 bahagian merangkumi 1,159 perwakilan Wanita, Pemuda (1,160 orang) serta 1,134 perwakilan Puteri.
PAU 2023 menyaksikan jumlah perwakilan dan pemerhati semakin bertambah apabila ketua penerangan bahagian dan sayap parti dipilih secara automatik.
Kehadiran itu dibuat parti bagi boleh membolehkan mereka memberi penjelasan kepada ahli UMNO di kawasan masing-masing.
Perhimpunan ini juga julung kali dilaksana selepas pemilihan UMNO yang diadakan pada Mac lalu membariskan kepimpinan parti sama ada di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, sayap-sayap malah juga di peringkat bahagian.
PAU 2023 bermula dengan sesi ‘Townhall’ Penerangan UMNO yang menghimpunkan ketua-ketua penerangan empat peringkat pada sebelah pagi ini dan Taklimat Presiden secara tertutup yang disampaikan Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pada sebelah malam, majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang berlangsung di Dewan Merdeka, akan disempurnakan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.
Esok, ketiga-tiga sayap UMNO akan melaksanakan persidangannya secara berasingan dengan Wanita di Dewan Merdeka, Pemuda di Dewan Tun Razak sementara Puteri di Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail.
Ini diikuti pada Jumaat, 9 Jun ini, Ahmad Zahid akan menyampaikan ucapan dasar dan perasmian.
Sementara itu Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa kerjasama dalam membentuk Kerajaan Perpaduan adalah demi survival UMNO.
Ketika berucap dalam program ‘Townhall Penerangan UMNO’ di Dewan Tun Dr Ismail, WTC, beliau berkata, keputusan tersebut juga dilakukan berlandaskan prinsip perjuangan UMNO yang didukung sejak awal penubuhannya.
“Kita memikirkan survival UMNO hendak pilih sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH). Ini bukan soal titah Yang di-Pertuan Agong sahaja, memikirkan soal survival kita mengenai soal bagaimana kita hendak bangkit kembali. Jika kita dengan PN pasti habis.
“Apa sahaja keputusan kita berpegang kepada prinsip UMNO, soal Islam, Melayu, Bumiputera, Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu dan itu tidak boleh berkompromi,” katanya seperti dilaporkan umnoonline.
Dr Asyraf turut sama mengajak ahli parti untuk bersama bangkit kembali dalam mendepani dinamik politik hari ini dengan bersikap realistik.
Katanya, perbalahan dalam kalangan ahli UMNO adalah kesempatan yang akan dimanfaatkan oleh pihak lawan bagi menggeruhkan hubungan kekeluargaan dimiliki parti selama ini.
“Saya tidak nampak orang serang Pas, atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia sekarang ini tetapi orang serang presiden dan kepimpinan parti kita dan itulah yang dikehendaki oleh musuh.
“Mereka mahu kita tembak sama sendiri, kalau itu yang berlaku jangan cakap soal perjuangan, jangan cakap kita inilah yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air … tak guna begitu kerana cakap tak serupa bikin.
“Allah kata ‘jangan kamu berbalah-balah, berbantah-bantah kerana kelak musuh akan menang ke atas kamu’ “ katanya.
