Misi mencari Hawari tamat Ahad ini

KUALA LUMPUR 24 Mei – Misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, yang hilang di kawasan pergunungan Everest akan ditamatkan Ahad ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr K Nagulendran, berkata keputusan itu dibuat susulan notis oleh kerajaan Nepal yang menutup semua aktiviti di pergunungan Everest mulai Isnin depan.

Justeru dalam tempoh itu, beliau berharap Hawari yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dapat ditemui dalam keadaan selamat.

Katanya, kerajaan melalui KBS akan menghulurkan bantuan kewangan bernilai RM1.48 juta kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi membantu misi SAR Muhammad Hawari.

“Kita sangat positif dan berharap Muhammad Hawari dalam keadaan selamat dan boleh ditemui dalam misi SAR ini, selain mendoakan yang terbaik.

“Misi SAR giat dijalankan di semua tempat, kem dan setiap khemah, termasuk pencarian melalui darat dan udara,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Hawari dilaporkan hilang ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Sehari sebelumnya, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Iskandar Ampuan Yaacub, 56, yang juga antara peserta ME 2023, dilaporkan meninggal dunia.

ME 2023 yang dianjurkan Altitude.MY itu turut disertai ketua ekspedisi yang juga bekas pendaki Everest 2016 Azim Afif Ishak dan Vincent Tiong Ling Yang.

Mereka memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan dan KBS.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar, Datuk Mohammad Ali Selamat berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu memaklumkan lokasi pencarian misi SAR itu diperluas, meliputi kawasan pendakian bermula dari Tibet.

“Operator yang berada di laluan pendakian bermula dari Tibet sudah dimaklumkan untuk membantu mengesan Hawari. Usaha kerajaan diperluas, bukan semata-mata di Nepal tetapi turut membabitkan kawasan di Tibet,” katanya.

Timbalan Presiden Altitude.MY, Murshid Maktar pula berkata, seramai enam sherpa (malim gunung) dilantik untuk membantu misi SAR terbabit, selain operasi berkenaan turut dibantu sherpa daripada operator lain.

“Malaysia ketika ini tidak menghantar pasukan SAR, sebaliknya hanya menyalurkan bantuan kewangan kepada pihak berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Chef De Mission, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor berkata, misi SAR berdepan beberapa kesukaran, antaranya suhu sangat sejuk, angin kencang dan keperluan penggunaan tong oksigen apabila melepasi suatu ketinggian.

“Kita khuatir jika Hawari terjatuh dalam rekahan bongkah ais. Kalau termasuk (dalam rekahan bongkah ais) memang dia tidak akan dijumpai lagi. Malah, fikiran manusia biasanya akan berhalusinasi apabila berada di ketinggian terbabit,” katanya.

Misi SAR yang memasuki hari keenam hari ini kini tertumpu di bahagian atas gunung dikenali sebagai ‘zon kematian’.

Related posts

Leave a Comment