Kenaikan OPR untungkan bank – Guan Eng

PETALING JAYA 24 Mei –  Tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalam (OPR) sebanyak tiga peratus tidak menguntungkan rakyat, sebaliknya membawa keuntungan kepada sektor perbankan.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, menegaskan tiada sebab untuk BNM menaikkan OPR ketika ini, apabila inflasi teras sudah mampu dikawal secara perlahan, malah menghentikan kenaikan OPR pada Januari dan Mac apabila kadar inflasi lebih tinggi.

Katanya , walaupun BNM tidak menaikkan OPR pada Januari dan Mac tahun ini, kedua-dua inflasi utama dan inflasi teras turun ke paras terendah dalam tempoh 34 bulan lalu, masing-masing pada kadar 3.4 peratus dan 3.8 peratus pada Mac lalu.

“Kenaikan OPR ini tidak menguntungkan sesiapa kecuali keuntungan sektor perbankan. Malah, penganalisis di Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menganggarkan dalam tempoh satu tahun pendapatan hadapan, kenaikan kadar 0.25 peratus akan melonjakkan keuntungan bersih bank itu sebanyak 3.7 peratus atau lebih sedikit daripada RM1 bilion kepada RM30.07 bilion daripada RM28. 99 bilion yang diunjurkan sebelum ini.

Adakah bank tidak memperoleh keuntungan yang mencukupi?” kata bekas Menteri Kewangan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 5 Mei lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM membuat keputusan di luar jangkaan dengan menaikkan OPR 25 mata asas kepada 3.00 peratus. Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Kenaikan OPR itu adalah pertama bagi tahun ini selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu telah dikekalkan pada Januari dan Mac lalu pada paras 2.75 peratus.

BNM berkata, ekonomi global terus didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh serta pemulihan ekonomi China yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Guan Eng berkata, wujud kekeliruan mengenai kenaikan OPR sekarang untuk mengawal inflasi teras, apabila inflasi teras sebenarnya menyederhana tanpa sebarang kenaikan OPR, kepada 3.9 peratus pada suku pertama 2023 berbanding suku akhir pada 2022 sebanyak 4.2 peratus.

Selanjutnya, katanya terdapat dua jeda kadar faedah tanpa kenaikan OPR oleh BNM pada Januari dan Mac 2023, walaupun inflasi teras lebih tinggi pada 4.2 peratus pada suku akhir 2022 berbanding 3.9 peratus pada suku pertama 2023.

Menurut Guan Eng, normalisasi OPR secara pramatang BNM tidak membantu membendung penyusutan nilai ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) malah mungkin menjejaskan kos pinjaman, mengekang pengembangan perniagaan dan merencat pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Katanya, pengukuhan nilai ringgit antara yang disebut sebagai asas menaikkan OPR, namun boleh diperhatikan dalam tempoh tiga minggu, nilai ringgit telah merosot daripada RM4.45 pada 3 Mei kepada RM4.58 hari ini.

“Sehingga hari ini banyak perniagaan yang terjejas akibat kejatuhan nilai ringgit masih menunggu maklum balas BNM.

“Hujah utama Bank Negara untuk kenaikan OPR adalah keperluan untuk mengekang inflasi teras dan melaksanakan normalisasi kadar dasar semalaman berikutan pemulihan ekonomi sepenuhnya daripada pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, wujud kebimbangan sebenar sama ada kenaikan OPR terkini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi yang mampan, menjadikan lebih sukar bagi Malaysia untuk mengulangi pertumbuhan KDNK suku pertama yang memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus pada suku kedua 2023.

“Menurut S&P Global Market Intelligence, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia yang diselaraskan mengikut musim kekal di bawah paras 50 mata yang memisahkan pengembangan dan penguncupan bulanan, dengan indeks tidak berubah pada 48.8 pada April 2023.

“Ini adalah isyarat amaran bagi sektor pembuatan Malaysia yang lemah pada permulaan suku kedua tahun ini, disokong oleh pertumbuhan perdagangan April 2023 yang jatuh sebanyak 14.5 peratus tahun ke tahun kepada RM198 bilion di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.

Related posts

Leave a Comment