Pencemaran plastik dijangka kritikal

PARIS: Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini memberi amaran bahawa isu pencemaran plastik akan menjadi kritikal dalam beberapa tahun akan datang.

Pada 2020, sekitar 238 juta tan metrik sampah adalah plastik sekali guna seperti bungkusan yang dibuang dan jika tiada perubahan ketara, setiap tahun, sampah plastik akan mencecah 408 juta tan metrik menjelang 2040.

Justeru dunia mesti mengurangkan hingga separuh penggunaan plastik sekali pakai dan mengurangkan pembuangannya untuk mencegah pencemaran alam sekitar.

Menurut laporan PBB, kekuatiran memuncak mengenai kesan sisa plastik ini, susulan serpihan mikroplastik ditemui dari dasar lautan paling dalam sehinggalah di puncak Gunung Everest.

Manakala dalam tubuh manusia, ia boleh dikesan dalam darah, susu ibu dan plasenta.

Laporan yang disiapkan Program Alam Sekitar PBB (UNEP) itu dikeluarkan dua minggu sebelum perunding dari hampir 200 negara bertemu di Paris bagi rundingan pusingan baru, bertujuan mencapai persetujuan undang-undang pada 2024, demi menghentikan pencemaran plastik.

Ia mengandungi tiga cabang berdasarkan penggunaan semula, kitar semula dan mempelbagaikan bahan yang digunakan, untuk membendung pencemaran plastik sekitar 80 peratus menjelang 2040 secara keseluruhan, dan mengurangkan separuh pengeluaran plastik sekali pakai.

Laporan itu menyebut, penyelidik menganggarkan bahawa plastik boleh mengeluarkan 19 peratus gas rumah hijau global menjelang 2040.

Ini pada dasarnya akan menghalang dunia daripada memenuhi komitmen Perjanjian Paris untuk mengehadkan kenaikan purata suhu permukaan planet kepada 1.5 darjah Celsius, melebihi paras pra industri.

Menurut Pengarah Eksekutif UNEP, cara kita membuat, menggunakan dan melupuskan plastik, mengakibatkan pencemaran ekosistem, menimbulkan risiko kepada kesihatan manusia dan menggugat kestabilan iklim.

Beliau berkata, perancangan yang disediakan dalam laporan itu ‘akan mengurangkan risiko secara ketara, dengan mengamalkan pendekatan bagi menghapuskan plastik dalam ekosistem, dari dalam darah kita dan juga ekonomi’.

Pada 2020, di seluruh dunia, sekitar 238 juta tan metrik sampah adalah plastik sekali guna seperti bungkusan yang dibuang dan secara kasar, separuh plastik yang dilupuskan tidak diselenggara dengan betul, dibuang di sekitaran atau dibakar.

UNEP menjangkakan jika tidak ada perubahan ketara, setiap tahun, sampah plastik ini akan mencecah 408 juta tan metrik menjelang 2040 tetapi angka pencemaran itu boleh dikurangkan menjadi 41 juta tan metrik dengan adanya ‘perubahan sistem’.

Pihak kerajaan atau pemerintah disaran memberikan insentif bagi melaksanakan perubahan ini, peruncit perlu memudahkan kaedah bagi pemulangan bungkusan dan pengguna ‘menghentikan kebiasaan pakai buang dan membiasakan diri supaya tidak hanya melihat pada kemasan yang cantik’.

Related posts

Leave a Comment