Tikus salai dalam bagasi dirampas

BAYAN LEPAS 18 Mei –  Nilainya cuma RM1,000 tetapi cubaan membawa masuk 10 kilogram tikus salai tanpa kebenaran menyebabkan seorang penumpang dari Vietnam berhadapan kemungkinan didenda tidak melebihi RM100,000.

Individu berkenaan juga boleh dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semalam, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk tikus salai tanpa kebenaran di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Menurut Pengarah Maqis, Muhammad Ikram Abdul Talib, pihaknya merampas 10 kilogram tikus salai tersebut yang bernilai RM1,000 hasil kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Ia berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas JKDM dan pemeriksaan oleh pegawai Maqis di LTAPP pada semalam.

“Hasilan haiwan iaitu tikus salai tersebut dijumpai semasa pemeriksaan bagasi terhadap seorang penumpang dari Vietnam. Kita merampas tikus salai berkenaan selepas mendapati ia dibawa masuk ke negara ini tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

“Maqis sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara,” katanya.

Beliau mengingatkan , tikus boleh menyebabkan penyakit berjangkit secara langsung dan tidak langsung.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment