Anwar iktiraf peranan Zahid

KUALA LUMPUR 14 Mei –  Anwar Ibrahim hari ini mengiktiraf peranan Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang telah memastikan Kerajaan Perpaduan berjaya dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri berkata, Presiden UMNO itu telah berperanan memastikan semua 26 Ahli Parlimen UMNO yang memenangi PRU15 menyokong usaha itu sehingga Kerajaan Perpaduan berjaya dibentuk.

Beliau mengiktiraf peranan Ahmad Zahid itu ketika berucap di hadapan pimpinan kanan dan ribuan perwakilan daripada 19 parti politik sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Menurut Anwar,  sejarah pembentukan kerajaan dan perjalanan politik negara pasca PRU15 pasti berbeza tanpa peranan Presiden UMNO itu.

“Saya tahu, saudara Ahmad Zahid ini antara yang paling kuat diserang, termasuk kepada saya tapi saya nak beritahu.

Kalaulah tidak kerana komitmen saudara Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO dan dukungan ahli-ahli Parlimen UMNO, sejarah kita tentu berubah, jadi kita juga harus iktiraf peranan beliau dan UMNO.

“Juga kalau daripada Yang di-Pertuan Agong sendiri, dalam keadaan kritikal itu, Premier Sarawak Abang Jo (Abang Johari Abang Openg) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menjadi faktor penentunya,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada 19 parti yang sanggup mengenepikan perbezaan dan permusuhan sejak puluhan tahun hingga membolehkan Kerajaan Perpaduan terbentuk selepas Parlimen tergantung pasca PRU15.

Tegasnya, semua parti itu berjaya mencari matlamat sama dalam penggabungan iaitu meninggalkan kekacauan dan kerosakan lama bagi membentuk Malaysia baharu yang berteraskan prinsip Madani serta tamadun bangsa dan negara.

“Tanpa komitmen yang ditunjukkan, yang sanggup meleburkan pertarungan dan kehangatan pertarungan lalu, sanggup meleburkan dan memaafkan kenyataan yang terkeluar dalam keadaan suhu politik yang hangat, fobia terhadap parti-parti.

“Kalau tidak ada semangat sedemikian, tidak mungkin kita dapat wujudkan Kerajaan Perpaduan yang mantap ketika ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment