Kerajaan Perpaduan kukuh,stabil

KUALA LUMPUR 14 Mei –  Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini membuktikan kepada seluruh negara dan dunia bahawa pentadbiran yang ada dalam keadaan kukuh dan stabil, kata Anwar Ibrahim

Perdana Menteri yakin susulan kejayaan konvensyen yang julung kali diadakan itu, kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan tergugat dan mampu kekal mentadbir negara sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Justeru, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mahu semua pimpinan dan anggota Kerajaan Perpaduan terus fokus melaksanakan amalan tata kelola yang baik serta memastikan pertumbuhan ekonomi negara bagi membela nasib rakyat.

“Alhamdulillah kita dapat tubuh kerajaan dan kerajan tak dijangka. Ada yang kata mungkin (bertahan) tiga bulan, mungkin (hingga) sebelum Tahun Baharu Cina, selepas itu (hingga) sebelum puasa, selepas itu sebelum raya, kemudian sebelum raya haji.

Konvensyen hari ini memberikan signal yang jelas kepada rakyat Malaysia dan dunia (bahawa) kerajaan ini bukan saja stabil, tetapi insya-Allah kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Kekal untuk apa? Untuk pastikan tata kelola mesti baik, hentikan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan keduanya, pastikan dasar yang boleh memacu pertumbuhan dan membela nasib rakyat negara kita,” katanya.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini.

Ini kali pertama Anwar kembali berucap di Dewan Merdeka selepas kali terakhir beliau berucap di situ atas pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 1997, 26 tahun lalu sebelum dipecat setahun kemudian yang membawa penubuhan PKR.

Anwar turut menghargai sokongan padu pimpinan semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, sekali gus menggagalkan usaha pihak tertentu yang ‘masih mengigau’.

“Kalau ada yang masih mengigau, saya sudah lontarkan cadangan kepada mereka, bawa usul di Parlimen dan kita bertempur di Parlimen minggu ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan kekuatan kerajaan ketika ini turut terbukti berdasarkan prestasi cemerlang dilakarkan pentadbirannya hanya dalam tempoh singkat enam bulan selepas PRU15.

Ini termasuk kejayaan Malaysia mencatat antara pertumbuhan ekonomi terbaik di Asia dengan 5.6 peratus bagi suku pertama tahun ini, selain kadar inflasi yang menyederhana kepada 3.6 peratus pada suku pertama tahun ini, berbanding 3.9 peratus pada suku keempat 2022 .

Kerajaan juga berjaya menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit, antaranya pelaburan digital berkualiti daripada Amazon Web Services (AWS) bernilai RM25.5 bilion, pelaburan beberapa syarikat ternama Korea Selatan berjumlah RM24 bilion serta potensi pelaburan daripada China bernilai RM170 bilion.

Related posts

Leave a Comment