KUALA LUMPUR 4 April – Tindakan drastik termasuk gesaan supaya mengharamkan kesemua produk merokok tidak mampu mengawal masyarakat daripada meneruskan tabiat itu, kata Anwar Ibrahim.
Justeru, kerajaan mengambil pendekatan secara sederhana bagi mengawal selia semua produk merokok, termasuk bahan mengandungi nikotin.
“Kita ambil tindakan memberi kesedaran, tetapi mengambil tindakan mengharamkan nikotin, vape, rokok, itu agak drastik dan tak mampu dilakukan mana-mana negara dunia.
“Orang (masih) pilih untuk merokok walaupun kita keluarkan kempen, sama seperti arak. Jadi sementara kita kempen mengenai kesan negatif (rokok), tetapi kita teruskan percukaian.
Ini sekadar untuk tidak menjadikan bahan itu tersebar luas dan murah,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) implikasi daripada tindakan kerajaan menyahsenaraikan produk cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam alat rokok elektronik daripada Akta Racun 1952 yang seolah menggadaikan masa depan generasi muda yang terdedah kepada ketagihan dan penyakit berkaitan rokok.
Anwar berkata, beliau sedar keputusan itu mendapat bantahan khususnya daripada pelbagai badan perubatan profesional dan persatuan bukan kerajaan (NGO).
“Badan profesional semuanya menentang keras soal ini tetapi pada hemat kerajaan buat sementara ini kita sukar untuk mengharamkan, tetapi boleh meningkatkan kesedaran.
“Ada ulama yang haramkan rokok umpamanya tetapi perokok (tetap) ada. Ini masalah (sejak) ribuan tahun. Sebab itu pendekatan kita sederhana, mengenakan cukai tetapi tegas untuk melarang (misalnya) di Parlimen, sekolah. Sekatan cukup meluas ke atas masyarakat terutama orang muda, (sama ada) bagi penggunaan vape atau rokok,” katanya.
Beliau juga menjelaskan setakat ini apa-apa hasil dari cukai vape ini, 50 peratus akan dikembalikan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membantu langkah pemulihan kesihatan.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Kuching) mengenai kemungkinan kerajaan mempertimbangkan menyalurkan 50 peratus daripada hasil cukai vape dan rokok kepada KKM untuk rawatan pesakit.
