Tanah Rezab Melayu di Kedah meningkat

ALOR SETAR 3 April – Kerajaan negeri menafikan berlaku penurunan keluasan Tanah Rezab Melayu di Kedah, seperti diumumkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, pada minggu lalu.

Menteri Besar, Muhamamd Sanusi Md Nor, sebaliknya berkata, keluasan Tanah Rezab Melayu ketika ini, menunjukkan peningkatan berbanding jumlah asal yang diwartakan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Beliau menegaskan, keluasan asal Tanah Rezab Melayu di Kedah pada 1933 mengikut warta yang dikeluarkan Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) adalah berjumlah 721,496.95 hektar.

“Bermula dari tahun 1933 hingga 19 Januari 2023, jumlah keluasan Tanah Rezab Melayu yang dicabut keluar adalah sebanyak 4,751.37 hektar, namun ia diganti balik dengan tanah seluas 5,160.03 hektar.

Ini menjadikan keluasan Tanah Rezab Melayu di Kedah pada Januari 2023 ialah seluas 721,905.61 hektar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, berdasarkan jumlah terkini, didapati berlaku peningkatan kira-kira 408 hektar Tanah Rezab Malayu pada 2023 berbanding keluasan asal pada 1933.

“Ini adalah keluasan yang direkodkan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah dan ini angka yang menjadi pegangan Kerajaan Negeri Kedah pada hari ini,” katanya.

Nik Nazmi ketika Sidang Parlimen sebelum ini, memaklumkan berlaku penurunan Tanah Rezab Melayu di Kedah iaitu dari 721,888.93 hektar yang direkod pada 2021 kepada 716,537.28 hektar yang direkod pada 2022.

Menurut beliau, jumlah keluasan asal Tanah Rezab Melayu di Semenanjung yang dinyatakannya adalah berdasarkan data Pejabat Tanah dan Galian (PTG) setiap negeri.

Related posts

Leave a Comment