KUALA LUMPUR 3 April – Hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk membincangkan mengenai pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar gagal apabila Dewan Rakyat menolak usul berkaitan.
Berikutan penolakan usul yang dibawa pada permulaan sesi Dewan Rakyat pagi ini, suasana kecoh dan diikuti hampir semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bertindak keluar dewan.
Terdahulu, Dewan Rakyat menolak usul dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) untuk membincangkan mengenai pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.
Wan Ahmad Fayshal berkata, usul yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, Jumaat lalu, ditolak atas alasan isu itu sudah dijelaskan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, sebelum ini.
“Bagaimanapun, saya mendapat banyak pandangan daripada rakyat bahawa penjelasan dan ulasan kedua-dua menteri serta timbalan menteri baru-baru ini tidak memuaskan mereka.
Izinkan untuk kami bahaskan perkara ini, hari ini, berbaki dua hari (sidang Dewan Rakyat) sebelum kita tamat sesi hari ini. Bolehlah sekiranya ia dipertimbang supaya dapat membawa kepentingan orang ramai yang begitu memerlukan pengeluaran KWSP bersasar ini,” katanya.
Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau Kiong bagaimanapun berkata, keputusan sudah dibuat Johari dan beliau tidak boleh mengetepikannya.
Mengikut Peraturan Mesyuarat 43, keputusan Speaker adalah muktamad. Kalau tidak puas hati, sila buat usul lagi,” katanya.
Bagaimanapun, keputusan Alice itu menyebabkan sebahagian Ahli Parlimen PN berdiri dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mempersoalkan keputusan itu kerana sudah tiada masa lagi untuk usul itu dibincangkan pada sesi kali ini.
Alice tetap tegas dengan keputusannya, menyebabkan Ahli Parlimen PN mengancam untuk meninggalkan dewan sebagai tanda protes.
“Kalau begitu caranya, saya fikir kami di sini mahu juga perkara ini dibahaskan. Kalau tak mahu dibahaskan kami boleh keluar untuk menunjukkan bahawa kami protes dalam perkara ini,” kata ketua pembangkang, Hamzah Zainudin.
“Silakan,” kata Lau.
Tindakan keluar dewan itu bagaimanapun hanya berlaku selama kira-kira 15 minit, selepas Ahli Parlimen terbabit masuk kembali bagi mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2023.
