Barisan Exco Melaka angkat sumpah Rabu

AYER KEROH 3 April – Ketua Menteri Melaka yang baharu, Ab Rauf Yusoh memulakan tugasnya hari ini dengan memaklumkan barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka akan mengangkat sumpah jawatan pada Rabu ini.

Beliau berkata istiadat berkenaan akan diadakan sejurus kepulangan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, dari luar negara, esok.

Beliau berkata, senarai nama calon Exco negeri sudah dipersetujui oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam dan akan dipersembahkan kepada Mohd Ali sebelum mengumumkannya.

“Senarai Exco sudah lengkap dan istiadat mengangkat sumpah akan diadakan sebelum keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Melaka pada sebelah petang Rabu ini,” katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas melakukan imbasan perakam waktu pada hari pertama memasuki Pejabat Ketua Menteri Melaka, di aras empat Seri Negeri di sini, hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Zaidi Johari dan Pegawai Kewangan negeri, Salha Saleh.

Ab Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara, berkata, fokus utamanya ketika ini adalah meneruskan agenda pembangunan negeri bagi memastikan kesinambungan kesejahteraan rakyat di bawah kerajaan perpaduan dapat diteruskan.

“Pastinya semua agenda yang dirancang dahulu akan diteruskan dan akan dilihat serta dikaji bagi penambahbaikan untuk kemakmuran dan kesejahteraan negeri serta rakyat Melaka khususnya.

“Jadi, pelan pembangunan Melaka juga akan saya lihat bagaimana penjanaan pembangunan dapat memberi faedah dan sudah pasti gandingan barisan pengurusan kerajaan negeri yang sedia ada akan dapat bersama-sama saya untuk memajukan negeri ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment