Muhyiddin mohon maaf atau disaman

KUALA LUMPUR 21 Mac – Pengerusi DAP Lim Guan Eng memberi kata dua kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN),  Muhyiddin Yassin, sama ada memohon maaf secara terbuka atau menghadapi tindakan perundangan susulan kenyataan berbaur fitnah membabitkan pembatalan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary.

Bekas Menteri Kewangan itu menggesa Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, menarik balik dakwaan terbabit serta-merta.

Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan, tindakan perundangan akan diambil ke atas Muhyiddin jika gagal mematuhi gesaan berkenaan dan memberi tempoh sehingga hari ini bagi Ahli Parlimen Pagoh itu berbuat demikian.

“Tindakan perundangan (ke atas Muhyiddin) bukan sahaja secara sivil seperti dinyatakan sebelum ini. Saya harap beliau tahu apa yang berlaku walaupun tidak hadir pada persidangan Dewan Rakyat pagi ini.

Saya harap beliau mengikuti perjalanan persidangan Dewan Rakyat secara siaran langsung untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Harap beliau bertindak secara bermaruah dengan menarik balik dan mohon maaf supaya perkara ini boleh diselesaikan, kalau tidak saya akan buat tindakan seterusnya,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Anwar Ibrahim pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, menafikan Guan Eng membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

Pada 9 Mac lalu, Muhyiddin dalam kenyataan selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan pengecualian pembayaran cukai diluluskan kepada Yayasan Albukhary.

Beliau dilaporkan berkata, mengetahui punca Guan Eng yang ketika itu Menteri Kewangan, membatalkan pengecualian cukai diperoleh Yayasan Albukhary sebelum itu.

Sementara itu Guan Eng mengulangi pendirian tidak pernah meneliti fail atau memberi arahan supaya pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary dibatalkan seperti didakwa Muhyiddin.

“Saya tak mahu diheret beliau dalam kes rasuah berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) atau kes pengecualian cukai diberikan kepada Yayasan Albukhary.

“Saya diheret walaupun tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan Jana Wibawa atau Yayasan Albukhary.

“Saya rasa ini disengajakan untuk menimbulkan sentimen, khususnya sebagai Menteri Kewangan bukan Islam membatalkan pengecualian cukai kepada institusi amal Islam.

“Ini pastinya memenuhi hasrat Perikatan Nasional (PN) memainkan sentimen tidak sihat. Ini fitnah dan pembohongan sangat jahat serta tidak adil kepada saya, selain berharap perkara ini boleh diselesaikan menerusi tindakan Muhyiddin memohon maaf kepada saya,” katanya.

Mengenai surat tuntutan berhubung perkara itu, Guan Eng berkata, Muhyiddin tidak mengemukakan sebarang maklum balas sejak dokumen itu diserahkan menerusi Tetuan Gouk, pada 15 Mac lalu.

Katanya, Muhyiddin masih berdegil, tidak mahu mengakui membuat fitnah ke atasnya.

Related posts

Leave a Comment