Lapor polis pastikan siapa “Deepak”

KUALA LUMPUR 16 Mac – Ahli Parlimen Ayer Hitam, Dr Wee Ka Siong, menggesa Deepak Jaikisha membuat laporan polis jika ada individu yang menyamar dan menggunakan namanya berhubung isu telur yang dibangkitkan di Dewan Rakyat.

“Saya akan bagi semua maklumat dan syarikat telekomunikasi pun boleh bekerjasama.

“Saya pun nak tahu kenapa individu ini tahu semua perkara tersebut dan kandungan surat peguam,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Ka Siong semalam ketika berbahas di Dewan Rakyat memaklumkan menerima panggilan daripada individu yang menggelarkan dirinya sebagai Deepak mewakili syarikat J&E Advance Tech susulan kenyataan berkaitan isu telur import.

“Semalam pukul 9.51 pagi, saya menerima panggilan daripada seseorang bernama Deepak yang mendakwa dirinya mewakili JNE Tex Advance Sdn Bhd dan mengatakan beliau telah berbincang dengan PMO untuk buat satu statement (kenyataan) dan kita settle (selesaikan) di luar mahkamah,” kata Ka Siong semalam.

Susulan kenyataan Ka Siong, Deepak menafikan beliau adalah individu yang didakwa mengeluarkan ugutan kepada Ka Siong, berhubung isu bekalan telur import.

Menurut laporan BH, Deepak yang dihubungi menegaskan tidak pernah berhubung dengan bekas Menteri Pengangkutan itu, berkaitan apa-apa perkara pun.

“Saya tidak pernah call ‘hubungi’ dia, nombor telefon dia (Ka Siong) pun saya tiada,” katanya.

Ditanya, kemungkinan orang yang membuat panggilan itu menyamar dan menggunakan namanya, Deepak berkata, beliau tidak dapat memastikan perkara itu dan menyatakan ada kemungkinan Ka Siong tidak berkata benar.

Menjawab dakwaan Deepak bahawa beliau tidak bercakap benar kerana enggan membuat kenyataan di luar Parlimen, Ka Siong, berkata beliau hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

“Saya sebagai wakil rakyat, jika tidak bersuara di Dewan Rakyat, buat apa jadi wakil rakyat?

“Saya ada pandangan dan pendirian sendiri. Saya tidak bersetuju, maka, saya bawa isu ke Dewan Rakyat. Saya tak berminat nak berdebat dengan siapa-siapa, ini (Dewan Rakyat) adalah medannya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment