KUALA LUMPUR 13 Mac – Exco Kerajaan Negeri Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin Mohd Hairi Mad Shah dipilih sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia selepas persaingan sengit dengan Ikmal Hazlan Ikmal Hisham.
Mohd Hairi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, akan bergandingan dengan Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang baharu dipilih, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang juga Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Merlimau, Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Tan Sri Shahrir Samad mengumumkan kemenangan Mohd Hairi dalam satu sidang media hari ini.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Mohd Hairi mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua para Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO di seluruh negara yang telah memberikan kepercayaan kepadanya sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO.
“Ironinya, genap setahun selepas saya diumumkan memenangi Dewan Undangan Negeri Larkin sebagai Wakil Rakyat tahun lalu, hari ini secara rasminya saya diumumkan sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, mandat yang diberikan kepadanya amat dihargai dan akan terus berusaha untuk menyampaikan, melaksanakan dan apa juga yang termampu sepenuh jiwa raga untuk diberikan kepada Pemuda UMNO dan parti keramat ini.
Mohd Hairi yakin dan percaya dengan kepercayaan serta mandat yang telah diberikan kepadanya.
“Yang menang, bukan menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua. Sebagaimana yang dituntut agama, Islam membentuk kita supaya menjadi umat yang yang bersatu dan bukan sahaja beriman dengan tuhan yang satu, sebarang bentuk perpecahan hendaklah kita tangani dengan sebaiknya,” katanya.
Katanya dengan mandat yang diberikan, beliau akan terus berusaha dengan lebih gigih lagi bagi memastikan segala perancangan akan tercapai.
