Bangkitkan semangat ‘merah jambu’

KUALA LUMPUR 13 Mac – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi mengajak seluruh anggota Puteri membangkitkan ‘semangat merah jambu’ untuk menuju ke arah kejayaan yang lebih bermakna.

“Ayuh barisan Puteri, sama-sama kita bangkitkan semangat merah jambu ke arah kejayaan yang lebih bermakna demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Along.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada para perwakilan yang telah memberikan kepercayaan dan sokongan untuk beliau memimpin sayap tersebut.

“Sesungguhnya mandat yang diberikan ini merupakan amanah dan tanggungjawab yang besar untuk Along dan barisan kepemimpinan Puteri UMNO Malaysia 2023-2026 galas bersama demi mendukung agenda UMNO tercinta,” katanya.

Along yang juga Ketua Puteri UMNO Kubang Kerian itu sebelum ini adalah Naib Ketua Puteri mendahului calon-calon lain dalam pemilihan UMNO yang berlangsung Sabtu lalu dengan memperoleh 88 undi.

Beliau menewaskan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,  Khaidirah Abu Zahar atau Dira, Setiausaha Puteri, Nurul Hazwani Haslan, Exco Puteri iaitu Dr. Masliha Harun dan Fadwah Anuwar dan Ketua Puteri Pandan Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin atau Sis Lin.

Related posts

Leave a Comment