Episod lompat parti kini ‘kukuhkan’ Sabah

EPISOD lompat parti berterusan di Sabah apabila seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan mengumumkan keluar parti dan menyertai Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Semalam ADUN Petagas, Awang Ahmad Sah Sahari menjadi wakil rakyat Warisan keempat pada bulan ini mengambil keputusan meninggalkan parti yang diasaskan oleh bekas Ketua Menteri Shafie Apdal.

Awal bulan ini, tiga ADUN Warisan meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan sebagai wakil Bebas yang menyokong Hajiji iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Chong Chen Bin (Tanjung Kapor).

Mereka kemudiannya menyertai Gagasan Rakyat bersama lima ADUN UMNO iaitu Yusof Yacob (Sindumin), Jasni Daya (Pantai Dalit), Arsad Bistari (Tempasuk), Hamid Awang (Balung), dan James Ratib (Sugut).

Apakah akan ada lagi episod ‘lompat parti’ dengan alasan demi masa depan pengundi-pengundi yang diwakili?

Kemungkinan episod lompat berulang tidak boleh dinafikan selagi tiada akta yang boleh menghalang ADUN yang dipilih atas nama parti tertentu mencari tempat yang lebih ‘selamat, selesa’ walaupun akan dilabel sebagai katak, monyet atau ‘dibeli’.

Di Sabah, Warisan kini berbaki 15 ADUN iaitu Sabah Shafie Apdal (Senalang), Darell Leiking (Moyog), Junz Wong (Tanjung Aru), Dr Jaujan Sambakong (Sulabayan), Dr Daud Yusof (Bongawan), Assaffal Alian (Tungku), Arunarnsin Taib (Gum Gum).

Sarifuddin Hata (Merotai), Jamil Hamzah (Bugaya), Dumi Pg Masdal (Silam), Azhar Matussin (Darau), George Hiew (Karamunting), Alias Sani (Sekong), Justin Wong (Sri Tanjong) dan Calvin Chong (Elopura).

Kata Ahmad Sah pada sidang media semalam, keputusan meninggalkan Warisan setelah mengambil kira situasi semasa dan tekadnya untuk membantu rakyat di kawasan yang diwakilinya.

Turut menyertai beliau keluar parti ialah sebahagian besar pemimpin dan ahli jawatankuasa (AJK) Warisan bahagian Putatan yang diketuainya sebelum ini menyebabkan Warisan bahagian itu lumpuh.

Hakikatnya , episod lompat parti bukanlah sesuatu yang luar biasa di Sabah sebaliknya menjadi kebiasaan menyebabkan kerajaan jatuh atau kerap bertukar tangan.

Berikutan itu, dua parti politik yang akan terus menjadi ‘mangsa’ iaitu UMNO dan Warisan menggesa akta antilompat parti disegerakan walaupun ia sudah terlambat kerana sudah ramai melompat manakala ADUN yang dipilih masih bebas ‘melompat’.

Melihat situasi hari ini, akta berkaitan lebih menguntungkan Gagasan Rakyat jika diluluskan pada bila-bila masa kerana kedudukan parti yang menguasai kerajan negeri semakin kuat hasil gabungan bekas ADUN Bersatu, UMNO dan Warisan.

Buat masa ini juga Warisan dan UMNO hanya mampu ‘berdoa’ dan bertahan daripada ‘bahtera’ mereka bocor dan tenggelam atau hanya tinggal ‘nakhoda’ serta seorang dua ‘kelasi’ yang setia.

Ahmad Shah ketika mengumumkan sokongan kepada Hajiji berkata,, selama tiga bulan beliau memikirkan hasrat meninggalkan Warisan sebelum nekad mengambil keputusan itu serta memaklumkan hasrat menyertai Gagasan Rakyat kepada Hajiji.

“Saya bukan orang kaya, sebagai ADUN, saya juga tiada masalah teruskan politik saya. Dua tahun setengah lagi umur saya juga sudah 63 tahun, saya perlu fikir masalah rakyat, masalah pemimpin parti, jentera parti dan rakyat yang beri kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Jadi atas dasar itu saya nekad keluar dan sertai Gagasan Rakyat. Saya jumpa Hajiji dua kali dan terakhir pada Jumaat lalu mengenai kerjasama dengan Gagasan Rakyat di kawasan Petagas, selain di Tanjung Aru,” katanya.

Beliau turut menekankan keikhlasannya menyertai Gagasan Rakyat tanpa meminta atau mengharapkan sebarang balasan atau imbuhan seperti didakwa pihak lain setiap kali episod ‘lompat parti’ berlaku.

“Saya bukan tanya berapa duit atau apa pangkat yang dia (Hajiji) bagi saya. Saya ikhlas dan saya tidak paksa pengikut saya ikut,” katanya.

Related posts

Leave a Comment