Kerajaan Perpaduan perlu patuhi konsep demokrasi

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) mengingatkan Kerajaan Perpaduan bahawa konsep demokrasi yang betul adalah semua pihak menjadi rakyat kepada mana-mana kerajaan yang memerintah, selepas pilihan raya.

“Janganlah dalam bab cukai diambil daripada semua, hasil bumi dikebas daripada semua negeri termasuklah negeri dan rakyat pembangkang, tetapi dalam urusan mentadbir dan membahagikan peruntukan, dibeza-bezakan,” katanya.

Justeru kata Presiden Pas itu, melengahkan peruntukan di kawasan pilihan raya dan negeri di bawah pentadbiran pembangkang adalah perbuatan yang tidak tepat dengan prinsip Islam serta demokrasi.

Tindakan itu tegasnya bukan sahaja mencalarkan imej Islam malah terlalu jauh daripada ajaran Islam yang menjadi agama rasmi negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu disedari bahawa orang Melayu dan Bumiputera yang ketinggalan banyak berada di kawasan pedalaman, luar bandar, di Pantai Timur, Utara Semenanjung dan Malaysia Timur (Sarawak dan Sabah),” katanya ketika membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Hadi berkata, kini kebanyakan penduduk di luar bandar khususnya orang Melayu dan Bumiputera memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) serta parti di Sarawak dan Sabah manakala Pakatan Harapan (PH) menerima dukungan daripada penduduk bandar dan kawasan campuran.

Justeru, tegasnya tindakan kerajaan PH yang membelakangi kawasan PN, Sabah dan Sarawak tidak mampu mengubah keadaan.

Katanya, PN yang mengambil alih kerajaan dalam masa yang singkat ketika bencana pandemik Covid-19 dapat menunjukkan sedikit perubahan.

Beliau berkata, pengundi muda dan luar bandar menunjukkan protes kepada Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan menolak PH kerana pembohongan janji dan manifestonya, mereka kemudiannya memberikan sokongan kepada PN.

“Kejayaan menukar kerajaan bukan melalui tebuk atap, tetapi atapnya bocor dan dinding kacanya yang berkecai.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), parti komponen PH mempunyai jumlah kerusi yang tidak mencukupi dan terpaksa menggabungkan semua parti kecil dan segala yang ‘berpenyakit’ bagi mencukupkan jumlah dalam kerajaannya yang bergelora sebagaimana yang disaksikan oleh rakyat.

“Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah,” katanya.

Menurut Abdul Hadi , menubuhkan kerajaan bukan sekadar meletakkan jenama (Kerajaan Perpaduan), sepatutnya mengikut apa yang ditakrifkan oleh semua kamus politik dalam segala bahasa.

Kerajaan Perpaduan katanya, adalah kerajaan tanpa pembangkang atau pembangkangnya terlalu kecil manakala asas perpaduan pula adil terhadap semua tanpa mengira siapa.

Katanya, pembangkang dalam sebuah negara demokrasi selepas pilihan raya dianggap sebagai penasihat bagi melakukan muhasabah terhadap kerajaan supaya jangan syok sendiri dengan tidak menyedari kelemahan yang berlaku

“Kalau partinya yang kecil bergabung dalam keadaan yang rapuh, laksana rumah berdinding kaca jangan mudah-mudah melontar batu terhadap pihak lain bagi menutup kelemahannya yang ketara.

“Ini kerana dindingnya menampakkan segala yang berlaku di dalamnya dan mudah pecah berkecai,” katanya.

Abdul Hadi turut menyampaikan empat rangkap pantun :
Kalau tanya kaji cuaca,
Kilat petir datang membelah,
Kalau rumah berdinding kaca,
Jangan kacau orang sebelah.

Kayu tengkawang dibuat rumah,
Rumah dipasang pagar berduri,
Kalau lawan dibawa ke mahkamah,
Kalau mengampu jadi menteri.

Related posts

Leave a Comment