Dua pemimpin Melaka intai Ketua Pemuda, Puteri

MELAKA 28 Feb. –  Dua pemimpin UMNO dari Melaka menawarkan diri untuk memimpin sayap parti – Pemuda dan Puteri pada pemilihan 11 Mac ini  manakala tiga lagi bertanding peringkat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dijadualkan pada 18 Mac.

Dr Muhamad Akmal yang juga ADUN Merlimau mengesahkan akan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO, manakala Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga ADUN Rim, Khaidirah Abu Zahar akan bertanding jawatan Ketua Puteri.

Wakil Melaka bagi merebut jawatan MKT pula adalah ADUN Paya Rumput  Rais Yasin, ADUN Telok Mas Abd Razak Abd Rahman dan Ketua bahagian Tangga Batu Mohamad Ali Mohamad.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Melaka,  Mustafa Musa berkata, sebanyak 291 pencalonan diterima untuk merebut jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO di enam bahagian di negeri ini, paling tinggi di Jasin.

Seramai 64 orang mengesahkan pencalonan untuk bersaing merebut jawatan AJK UMNO Bahagian Jasin, diikuti Kota Melaka dan Hang Tuah Jaya (52), Tangga Batu (48), Masjid Tanah (41) dan Alor Gajah (34).

Mustafa berkata bagi jawatan ketua bahagian, seramai 10 individu menawarkan diri, sama ada mempertahan atau mencabar jawatan berkenaan di semua bahagian, diikuti timbalan ketua (12) dan naib ketua (13).

UMNO Jasin menyaksikan pertandingan sengit apabila empat individu menawarkan diri bagi jawatan ketua bahagian yang disandang Hasan Abd Rahman yang akan mempertahankan jawatannya.

Pencabar lain adalah Ketua Pemuda UMNO bahagian, Dr Muhamad Akmal Saleh; Naib Ketua UMNO bahagian,  Zaidi Attan dan Bendahari, Mohd Yusof Osman.

UMNO bahagian Tangga Batu pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi jawatan ketua bahagian di antara penyandang, Mohamad Ali Mohamad dengan Ketua Pemudanya, Rais Yasin.

Di Alor Gajah, dua calon bakal merebut jawatan ketua yang kosong susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Abd Ghafaar Atan, dua tahun lalu.

Mereka adalah Timbalan Ketua bahagian, Datuk Rospandi Leman dan Ketua Pemuda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan.

Tiga ketua bahagian lain disahkan menang tanpa bertanding, iaitu Ab Rauf Yusoh (Masjid Tanah), Abd Razak Abd Rahman (Kota Melaka) dan Mohd Ridhwan Mohd Ali (Hang Tuah Jaya).

Ketua Menteri Melaka,  Sulaiman Md Ali juga disahkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Masjid Tanah.

Related posts

Leave a Comment