Annuar sedia kembali ke gelanggang politik

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Annuar Musa kini bersedia untuk kembali ke gelanggang politik dengan menyertai mana-mana parti yang bersedia menerimanya untuk berkhidmat sebagai ahli biasa.

Bekas Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu dipecat oleh UMNO pada Disember lalu, dan sejak itu beliau memberi perhatian kepada pertubuhan bukan politik Muafakat Nasional (MN).

“Sudah tiga bulan saya tidak berparti. Masa tersebut saya gunakan untuk bermuhasabah dan memerhatikan arus dan pola politik negara.

Tiba masanya kini, untuk saya memikirkan secara serius untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti, dengan memilih parti yang sesuai dengan jiwa perjuangan saya dan parti yang benar benar berjuang menegakkan syiar agama serta membela bangsa dan negara.

“Semoga ada parti yang sudi menerima saya utk berkhidmat sebagai ahli biasa mereka. Kepada Allah, saya berserah,” katanya melalui Facebooknya.

Bekas Ketua UMNO bahagian Ketereh itu, berkata sudah tiba masanya beliau memikirkan secara serius untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti.

Beliau berkata, sejak 1979, selama 43 tahun beliau menjadi ahli parti politik tertentu dan berkhidmat kepadanya, sehinggalah dibuang dari parti itu Disember lalu.

Sepanjang penglibatannya dalam UMNO, beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Peringat dan Kok Lanas sebelum ke Parlimen.

Annuar menganggotai Kabinet dengan memegang beberapa portfolio termasuk Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Related posts

Leave a Comment