Dr Halimah ‘mohon maaf’ isu Menu Rahmah

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, ‘memohon maaf’ dalam bentuk gurindam susulan kenyataannya berhubung Menu Rahmah yang didakwa mengelirukan Dewan Rakyat, pada 14 Februari lalu.

Dr Halimah yang juga Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN), itu membuat permohonan maaf, selepas menyatakan ucapannya itu disalah erti.

Katanya: “Jikalau ada jarum peniti, jangan disimpan di dalam peti, andai ada ucapan disalah erti, saya menyusun 10 jari, niat di hati suara rakyat saya juarai semak imbang Kerajaan MADANI, biar integriti, bukankah itu peranan hakiki,”

“Selaku wakil rakyat suara rakyat yang diwakili sudi kiranya rujuk penyata rasmi mukasurat 134 hingga 137 pada 14 Februari,” katanya di Dewan Rakyat pagi ini.

Minggu lalu, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) membuat permohonan mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (12), susulan kenyataan yang dibuat Dr Halimah ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja kerana didakwa mengaitkan Menu Rahmah dengan beberapa penyakit terutamanya kanser, autoimmune (diseases) dan autisme.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, berkata permohonan maaf itu dibuat Dr Halimah, selepas persetujuan bersama dicapai sebelum ini.

Minggu lalu, Dr Halimah dilaporkan menyuarakan kebimbangan bahawa penyediaan makanan yang berharga rendah untuk Menu Rahmah tidak sepatutnya sehingga menyebabkan golongan kurang berkemampuan mendapat hidangan yang bermutu rendah.

Dr Halimah dilaporkan berkata, pihaknya tiada masalah dengan istilah Rahmah atau apa sahaja tetapi jangan sampai golongan B40 diberikan bekalan makanan yang tidak berkualiti dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, ‘autoimmune disease’, autisme dan sebagainya.

Berikut ucapan atau kenyataan berkaitan isu yang dibangkitkan Dr Halimah yang dipetik daripada penyata rasmi Dewan Rakyat.

“Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana masa tak banyak, saya nak sebutkan tentang food security dan health security. Ini semuanya keperluan asas. Kita tak mahu, saya selaku doktor perubatan, takut apabila keterjaminan makanan ini mendesak, ada membingungkan kerajaan. Kita tidak mahu shortcut, kita tidak mahu kompromi daripada bekalan makanan yang low quality. Saya tidak ada masalah dengan istilah “rahmah” atau apa, tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang low quality dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya.

Saya ingin melontarkan kepada kerajaan. Malaysia dikatakan paling kaya ke-12 biodiversiti dalam dunia. Kita banyak air, sumber air, kita tak ada gempa bumi yang serius seperti Turki, Indonesia dan sebagainya.

Tanah kita subur, green. Jangan takut green wave, kita sudah tidak ada lagi…[Tidak jelas]. Jadi, sepatutnya kerajaan boleh dengan modal insan yang ada menggunakan teknologi, menggunakan segala ada.

Saya percaya di Malaysia ini, ada orang bijak pandai. Give them the segala yang mereka perlukan, insya-Allah, mereka boleh. Food security, health security dan sebagainya. Melonjakkan negara kita menjadi negara yang makmur dan diberkati oleh Allah SWT. [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Terima kasih, Kapar menjunjung kasih,”

Related posts

Leave a Comment