KUALA LUMPUR 13 Feb. – Krisis politik selama hampir empat tahun di negara ini boleh dielakkan sekiranya semua ahli politik dan wakil rakyat bersedia mengenepikan perbezaan dan bersatu padu atas dasar menjaga kepentingan rakyat dan negara.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah krtika bertitah demikian yakin kemelut politik dalam tempoh itu tidak akan berlaku jika peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dapat dielakkan.
“Pada pengamatan beta, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga akan dapat dielakkan.
Lebih penting lagi, kemelut politik yang membelenggu negara boleh dielakkan jika ahli Dewan Rakyat dan ahli politik negara bersedia mengenepikan perbezaan dan bersatu padu semata-mata atas dasar menjaga kepentingan rakyat beta dan negara yang kita cintai ini,” titah Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan pembukaan penggal Parlimen Ke-15, di sini, hari ini.
Titah Al-Sultan Abdullah, akibat kemelut politik itu, baginda diheret ke dalam kancah politik walaupun sepanjang pemerintahan, baginda tidak pernah berhasrat mencampuri urusan atau mencatur landskap politik negara.
Yang di-Pertuan Agong, menegaskan, hakikatnya baginda hanya melaksanakan amanah dan janji yang dituntut seperti mana yang telah dilafaz dan ikrarkan.
Untuk rekod sepanjang pemerintahan baginda, iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Perdana Menteri silih berganti, bermula dengan pelantikan Dr. Mahathir diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob dan kini Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Al-Sultan Abdullah juga menegaskan, selepas 66 tahun kemerdekaan, Malaysia sepatutnya sudah matang untuk menjadikan kemajmukan dan kepelbagaian sebagai kekuatan dan rencah utama dalam membentuk bangsa Malaysia yang saling menyayangi, menghormati antara satu sama lain, toleran dan hidup dalam sebuah kesepaduan yang utuh.
“Jika kepelbagaian, kemajmukan dan kekusutan politik berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan, beta rasa khuatir suasana damai dan kemajuan yang didambakan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya,” titah baginda.
Yang di-Pertuan Agong turut menyambut baik permuafakatan dibentuk dalam kalangan pimpinan parti politik bagi membentuk kerajaan Perpaduan, selari dengan hasrat murni baginda untuk membentuk kerajaan yang stabil dan utuh.
Justeru, baginda mahu melihat kerajaan hari ini menumpukan usaha memastikan kestabilan politik dan menjana pertumbuhan ekonomi bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
“Beta menghargai pengenalan inisiatif negara MADANI yang merangkumi aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.
“Besar harapan beta agar prinsip itu diterjemahkan dengan baik dalam kerangka untuk mencipta lonjakan buat negara,” titah baginda.
