SEJAK kebelakangan ini, Jalur Gemilang ‘mengalami pelbagai perubahan’. Mungkin kebetulan kejadian ini berlaku ketika kerajaan baharu mengambil alih. Rasanya tidak pernah kedengaran sebelum ini bendera kebanggaan negara dipasang secara terbalik, jalur putihnya diwarnakan hitam dan terkini, bucu bintangnya menjadi lima. Apa sudah jadi ‘kesilapan demi kesilapan’ dilakukan?
Tidak perlu menuding jari atau menyalahkan mana-mana pihak atau mengaitkannya dengan pertubuhan tertentu termasuk politik. Malaysia sudah 62 tahun merdeka. Warna bendera tidak berubah tetapi bucu bintang dan bilangan jalur berubah apabila Wilayah Persekutuan diwujudkan. MCA pada lambang parti dan benderanya juga mempunyai bintang 14 bucu. Mungkin kesilapan paparan Jalur Gemilang itu boleh diterima jika bucunya atau jalurnya tidak cukup, maksudnya kurang satu. Tetapi yang muncul lima bucu, jauh bezanya dengan 14. Di mana sembilan lagi?
Akhirnya kesilapan paparan imej Jalur Gemilang itu menimbulkan pelbagai persepsi. Orang kita memang pakar persepsi. Ada yang kata sembilan lagi hilang kerana negeri-negeri itu ada Sultan atau Raja. Lima itu menggambarkan Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Ada pula yang mengaitkannya dengan bendera komunis. Sekali lagi mungkin kebetulan tetapi semua ini boleh menimbulkan suasana tidak sihat. Boleh mencetuskan provokasi.
Di mana silapnya sehingga Jalur Gemilang diremehkan? Adakah sikap tidak apa dan sikap pemaaf membuatkan ada pihak yang tidak ambil kisah terhadap spesifikasi serta kaedah mengibarkan Jalur Gemilang ini? Jika salah, cukup mohon maaf kemudian berulang lagi penghinaan terhadap Jalur Gemilang. Eloklah pihak polis menjalankan siasatan dan bertindak sewajarnya terhadap isu bintang pecah lima ini.
Semoga tidak kedengaran lagi isu Jalur Gemilang diperlekeh, dipersenda atau dihina atas alasan sengaja atau tidak sengaja.