Impian menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan impian untuk memandu menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.

“Menjadi impian beta untuk memandu menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo ini. Khusus untuk beta mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat beta di pedalaman Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu.

Program kembara ini sedang dirangka oleh Istana Negara dengan kerjasama kerajaan Persekutuan, kerajaan Sabah dan Sarawak,” titah Al-Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15, di sini hari ini.

Seri Paduka turut melahirkan rasa sukacita dengan prestasi pelaksanaan projek Fasa 1 Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak yang dimulakan pada 2015 serta dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Selain memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam melalui kemampanan sektor pembinaan, Al-Sultan Abdullah bertitah usaha membangun dan memperkasa ekonomi di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak perlu dipergiat.

Al-Sultan Abdullah bertitah, pembangunan Kompleks Mahkamah di Sabah dan Sarawak juga wajar diberikan perhatian bagi memperkasa pentadbiran undang-undang.

Infrastruktur berkualiti dan perhubungan akses luar bandar akan ditingkatkan menerusi pembinaan jalan luar bandar, jambatan, utiliti bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kediaman yang lebih baik.

“Jurang pembangunan ekonomi semua kaum dan etnik, termasuk Orang Asli akan terus ditangani bagi melahirkan masyarakat desa yang berdaya tahan dan berdaya saing,” titah Seri Paduka.

(Foto hiasan)

Related posts

Leave a Comment