JOHOR BAHRU 4 Feb. – Bekas Pengerusi UMNO Johor, Hasni Mohamad, mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden UMNO pada pemikihan yang akan berlangsung bulan depan.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu mengumumkan hasratnya itu selepas mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO Johor, di Johor Bahru, hari ini.
Berikutan pengumuman ini, setakat ini dua wakil UMNO Johor menawarkan diri untuk jawatan berkenaan selepas Pengerusi Negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden.
Hasni yang digugurkan dari jawatan Pengerusi UMNO Johor baru-baru ini menawarkan diri bertanding jawatan berkenaan kerana masih mahu menyumbang usaha dan tenaga bagi memantapkan parti itu.
“Saya akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden kerana itulah jawatan yang boleh dipertandingkan waktu ini.
Saya percaya ramai juga tokoh lain, selain penyandang Datuk Seri Khaled sebagai Naib Presiden, atas semangat untuk terus menyumbang kepada parti di semua peringkat. Maka dengan itu saya menawarkan diri untuk bertanding,” katanya.
Dua lagi penyandang Naib Presiden ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
