Panjangkan tempoh bayar balik pinjaman

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengesyorkan tempoh bayaran balik pinjaman termasuk pembiayaan peribadi dipanjangkan daripada 10 kepada 20 tahun.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, langkah itu sekali gus dapat membantu rakyat mengelak masalah muflis akibat beban hutang terbabit.

Dalam kenyataan media, Adnan berkata, Kementerian Kewangan dan Bank Negara (BNM) perlu memanjangkan tempoh itu dengan mengambil kira impak lonjakan kos sara hidup serta kesan pasca Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, pelaksanaan cadangan itu akan menjadikan kadar bayaran balik pinjaman lebih rendah, justeru turut membolehkan rakyat mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk dibelanjakan.

“Mereka yang mahu melakukan pinjaman perumahan atau peribadi untuk berniaga, juga tidak begitu bimbang untuk berbuat sedemikian kerana bayaran bulanan pinjaman itu akan menjadi lebih rendah jika had tempoh pembiayaan dipanjangkan.

Mana-mana rakyat yang terjejas pendapatan juga boleh membuat penstrukturan semula tempoh dan bayaran bulanan, kepada jumlah lebih mampu dan ia dapat mengelak masalah muflis daripada berlaku,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan sebanyak 49,133 kes kebankrapan ditadbir Jabatan Insolvensi sejak 2018, dengan hutang pinjaman peribadi dan sewa beli kenderaan merupakan antara faktor utama masalah berkenaan.

Berdasarkan rekod, sebanyak 9.06 peratus atau 4,449 daripada mereka adalah kakitangan sektor awam.

Pada 2013, BNM dilapor memendekkan tempoh pembiayaan peribadi daripada 25 kepada 10 tahun, manakala pinjaman perumahan pula daripada 45 kepada 35 tahun, menyebabkan kadar bayaran balik bulanan meningkat, sekali gus mengurangkan jumlah pendapatan boleh guna.

Adnan berkata, syor memanjangkan semula had tempoh bayaran balik pinjaman juga dijangka mampu merancakkan semula ekonomi kerana pendapatan boleh guna bertambah, selain berupaya mengurangkan tekanan hidup rakyat.

Pada masa sama katanya, operasi perniagaan koperasi kredit dan institusi kewangan dikawal selia BNM boleh berkembang semula.

Selain itu, ia mampu memberikan peluang kedua kepada rakyat yang berkemungkinan terhimpit sehingga perlu melalui proses kebankrapan, untuk menstruktur semula kewangan mereka.

“Ia memberi situasi menang-menang kepada rakyat yang boleh menjalani hidup seperti biasa tanpa perlu melalui proses kebankrapan,” katanya.

Mengenai masalah muflis dalam kalangan penjawat awam, beliau berkata, pendedahan mengenai pengurusan kewangan baik yang diterapkan perkhidmatan awam ke atas anggotanya secara berterusan, telah meningkatkan kesedaran supaya tidak terjerat dalam kancah hutang.

Bagaimanapun, katanya, CUEPACS bimbang akan keperluan rakyat ketika ini yang terpaksa berhutang bagi meneruskan kehidupan berikutan gaji tidak mencukupi untuk menampung lonjakan kos sara hidup.

Justeru,  ramai yang terpaksa melakukan pinjaman peribadi untuk menampung keperluan yang mendesak.

“Bagaimanapun, tempoh pembiayaan yang singkat iaitu maksimum 10 tahun, menyebabkan ansuran bulanan menjadi tinggi sehingga menyebabkan pendapatan boleh guna peminjam terjejas,” katanya.

Related posts

Leave a Comment