Ketua Pemuda Armada Bersatu

TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dipilih menjadi Ketua Pemuda Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi penggal 2019-2022.

Naib Ketua Armada pula adalah Caesar Mandela Malakun, anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Clarence Bongkos Malakun.

Wan Ahmad Fayhsal, yang juga Ketua Bersatu Bahagian Titiwangsa, telah mengenepikan pencabarnya iaitu Muzzammil Ismail.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 173 bahagian Armada layak bersidang secara serentak semalam, namun sembilan bahagian tidak dapat bersidang kerana kekurangan korum seperti mana yang diperlukan mengikut Perlembagaan Bersatu.

Selain itu beliau berkata, 9,496 perwakilan telah membuang undi bagi memilih Jawatankuasa Armada Malaysia bagi penggal 2019-2022.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengucapkan selamat berkhidmat kepada pimpinan sayap yang baharu bagi penggal 2019-2022.

Ahli Parlimen Muar itu dalam ciapan di Twitternya berkata beliau mengharapkan agar pimpinan baharu yang diterajui Wan Ahmad Fayhsal dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan cermat.

“Gunakan peluang yang ada untuk mengemudi Armada sebaik mungkin,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment