Pas tanding 60 sasar menang 40

PUTRAJAYA 31 Okt. – Pas dijangka bertanding di 60 kerusi Parlimen dengan menyasarkan menang 40 daripada kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Katanya, senarai calon yang turut menampilkan 10 peratus calon wanita dan ada juga yang direhatkan bagi memberi laluan muka baharu sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan di peringkat negeri pada Rabu ini.

“Dalam Pas apa sahaja keputusan dibuat pimpinan parti akan diterima baik oleh individu yang tidak tercalon atau direhatkan termasuk ada juga yang dipilih untuk dicalonkan menolak kerana bagi mereka jawatan itu satu amanah dan tanggungjawab besar dan bukan kemegahan, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Tenaga Hijau Korporat Sokongan Agenda Pembangunan Ekonomi Hijau Negara di Suruhanjaya Tenaga, hari ini.

Takiyuddin turut membidas kenyataan dibuat penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyarankan ahli dan penyokong Pas mengundi Barisan Nasional (BN) pada PRU15 bagi mengelak kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang akan membawa mudarat lebih besar kepada negara.

Katanya, Khairuddin tidak layak menasihatkan ahli Pas kerana dia bukan lagi ahli dan kini sebagai orang asing.

Related posts

Leave a Comment