Syed Saddiq cabar menteri mana?

BERTANDING atau tidak? Jawapannya akan diketahui apabila Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat pengumuman pada, Rabu 2 November sama ada akan mempertahankan kerusi Parlimen Muar atau sebaliknya.

Kedudukannya menimbulkan persoalan apabila bekas Menteri Belia dan Sukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu diperintah membela diri dalam empat pertuduhan termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.

Syed Saddiq dalam kenyataannya baru-baru ini menghormati institusi kehakiman dan kini diberi ruang untuk membela diri.

“Status saya, nantikan pengumuman pada Rabu ini. Apa yang penting saya menghormati institusi kehakiman. Malah saya sudah menyarankan kepada semua penyokong MUDA supaya turut menghormati institusi kehakiman negara,” katanya.

Adakah Syed Saddiq, anak muda yang berprinsip itu terpaksa melepaskan peluang untuk menawarkan diri, mempertahankan kerusi Parlimen Muar bagi membersihkan dahulu kesnya sebelum masuk gelanggang?

Ketika hampir semua kerusi sudah diisi calon, Muar antara yang menanti siapakah dalam kalangan MUDA, PKR atau Amanah akan berhadapan cabaran dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan mungkin juga Gerakan Tanah Air (GTA).

Andai Syed Saddiq ingin membersihkan namanya dahulu, kemungkinan beliau tidak bertanding tetapi hakikatnya beliau belum terbukti bersalah. Apa salahnya beliau terus menawarkan diri bagi mempertahankan kerusi itu? Teruskan Syed Saddiq.

Cuma persoalannya, adakah Syed Saddiq akan turut mengikut jejak langkah anak-anak buahnya yang memberanikan diri bertanding di kawasan luar bandar yang penyandangnya berstatus menteri? Wajarkah Syed Saddiq ‘di luar gelanggang’?

Mungkin jika Sembrong belum diisi, itu adalah kawasan yang sesuai untuk Syed Saddiq berdepan dengan menteri selaras dengan perjuangan MUDA dalam PRU15 ini, iaitu bertanding di kerusi luar bandar dan ‘MUDA lawan Menteri.’

MUDA sebelum ini menjangkakan Sembrong diperuntukkan kepadanya tetapi dalam kenyataan Pakatan Harapan (PH) semalam, kerusi itu diperuntukkan kepada PKR.

Bagaimanapun situasi ini tidak menjadi masalah besar kerana MUDA dan PKR masih boleh bertukar kawasan. Yang penting Syed Saddiq seiring dengan anak-anak buahnya berdepan calon status menteri.

Maknanya jika benar MUDA lawan Menteri, Sembrong kawasan yang sesuai, itu pun jika Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein masih di situ.

Setakat ini di Semenanjung tiga calon MUDA sudah mengesahkan penyertaan di kawasan menteri iaitu Danial Abdul Majid (P.041 Kepala Batas), Cikgu Rahayu  (P.095 Tanjung Karang) dan Lim Wei Jiet  (P.165 Tanjung Piai).

Untuk rekod penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican, di Tanjung Karang  Noh Omar  yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi manakala di Tanjung Piai Dr Wee Jeck Seng yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II.

Hari ini, MUDA mengumumkan seorang lagi calon yang akan bertanding di P168 Kota Marudu, Sabah.

Petani muda, Shahrizal Denci dijangka menghadapi penyandang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Dr Maximus Ongkili, itu pun jika Ongkili tidak bertukar kawasan.

Jadi sebagai Presiden, menteri mana pula jadi pilihan Syed Saddiq? Kita tunggu keputusannya sama ada bertanding atau tidak? Jika ya, siapa menteri berkenaan.

Related posts

Leave a Comment