Kes harian Covid-19 lepasi 5,000

PUTRAJAYA 4 Ogos  – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 di negara ini terus menunjukkan peningkatan dengan merekodkan 5,330 kes semalam, berbanding 4,204 kes kelmarin.

Pertambahan kes berkenaan membabitkan 5,317 kes penularan tempatan dengan 13 kes lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara menjadikan angka keseluruhan jangkitan Covid-19 di negara ini meningkat kepada 4,692,800.

Dalam tempoh yang sama laman COVIDNOW merekodkan 10 lagi kematian akibat jangkitan berkenaan dengan satu kes adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Ia menjadikan jumlah angka korban meningkat kepada 35,995 kes dan daripada jumlah itu sebanyak 7,647 kes meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Setakat semalam, sebanyak 46,523 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dilaporkan dan daripada jumlah itu 96.5 peratus atau 44,885 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah manakala 1,560 kes dirawat di hospital.

Sejumlah 49 individu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 34 kes memerlukan alat bantuan pernafasan manakala 29 pesakit pula berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Sebanyak 3,075 kes sembuh dilaporkan setakat semalam menjadikan jumlah individu pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan adalah 4,610,282 kes.

Sementara itu, hampir semua negeri mencatatkan peningkatan kes harian dengan Selangor terus merekodkan kes tertinggi iaitu 2,054,  berbanding 1,526 kelmarin diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1,449 juga meningkat berbanding 1,080.

Ini diikuti Perak 316 berbanding 237 kelmarin, Sabah 277 (272), Negeri Sembilan 227 (167), Pulau Pinang 195 (172), Melaka 169 (80), Kedah 137 (168) dan Johor 113 (82).

Di bawah 100 kes adalah Sarawak 92 (112), Wilayah Persekutuan Putrajaya 81 (106) Kelantan 72 (90), Pahang 66 (53), Terengganu 47 (37), Perlis 24 (12), dan Wilayah Persekutuan Labuan 11 (10).

Related posts

Leave a Comment