HULU KELANG 24 Okt. -:Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyatakan komitmen untuk meneliti semula isu royalti industri perfileman, khususnya jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Beliau menegaskan, amat memahami isu berkenaan memandangkan beliau sendiri sudah memulakan usaha menyelesaikan isu berkenaan ketika menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
“Ketika itu, saya ada wujudkan jawatankuasa membabitkan wakil perfileman dan drama untuk lihat isu dalam industri, selepas isu royalti untuk penyanyi dan komposer diselesaikan dengan pindaan Akta Hak Cipta 1987.
“Jadi waktu saya itu, kita baru bermula…saya harap perkara ini boleh dilihat kembali bagi kita jaga kepentingan pelakon-pelakon, penerbit-penerbit, pengarah-pengarah dan sesiapa sahaja terlibat dalam aktiviti perfileman.
“Jika mereka dapat royalti berterusan, tentu saja mampu menjaga kepentingan mereka di hari tua,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Program Ekspresi@FINAS, di Kompleks Studio Merdeka Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Hulu Kelang hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zurainah Musa.
Perdana menteri berkata berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019, industri perfileman menyumbang 1.9 peratus atau RM29.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjana sebanyak 216,811 peluang pekerjaan.
Bagaimanapun industi yang merangkumi sektor pengeluaran, pengedaran dan pemameran filem berkenaan mengalami kerugian dianggarkan lebih RM10 bilion sejak 18 Mac 2020 kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik.
“Daripada jumlah itu, industri pemameran pawagam kehilangan kutipan kasar RM1.08 bilion pada tahun 2019, kepada RM138.9 juta pada tahun 2020, dan RM28.9 juta pada tahun 2021,” katanya.
Mengenai proses pemulihan ekonomi pasca pandemik, Ismail Sabri berkata impak usaha kerajaan menarik pelaburan asing juga dapat dilihat melalui data pelaburan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) Finas berjumlah RM129.7 juta sehingga Ogos lepas, melebihi RM100 juta sasaran.
Manakala bagi pasaran domestik, kejayaan filem Mat Kilau yang mencatat kutipan pecah panggung tertinggi melebihi RM90 juta adalah bukti kemampuan filem tempatan bersaing dengan filem-filem antarabangsa yang menguasai 60 peratus pasaran pecah panggung (box office).
Katanya ini disusuli kejayaan filem-filem seperti Air Force The Movie dan Abang Long Fadil 3 yang juga mencatat kutipan melebihi RM25 juta yang memberi keyakinan kepada pihak penerbit, pengedar dan pemamer mengenai keupayaan filem-filem tempatan kita untuk memecah kebuntuan akibat impak pandemik.
Beliau berkata kerajaan sedar dalam laluan menuju ke hadapan, suasana ekonomi dijangka lebih mencabar dan pelbagai isu telah disuarakan pemegang taruh seperti pemilikan hakcipta, kebajikan penggiat, kadar bayaran penerbitan oleh penyiar, potongan duti hiburan, insentif percukaian dan sebagainya.
“Kerajaan sentiasa prihatin akan isu-isu yang dibangkitkan dan berdasarkan perancangan jangka panjang, isu-isu ini akan diperhalusi dan ditambah baik seiring ekosistem industri yang melalui fasa perubahan,” katanya.
Beliau percaya para pemegang taruh industri mempunyai potensi besar untuk menjadikan industri perfileman negara sebagai komoditi yang memacu ekonomi di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Saya berharap industri tempatan akan terus kukuh mengharungi situasi ekonomi yang kian mencabar dan bangkit secara progresif supaya seluruh Keluarga Malaysia mendapat manfaat,” katanya.
