Janji tiga TPM perlu ada dalam manifesto

HULU KELANG 24 Okt. – Cadangan pelantikan tiga Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkumi wakil Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan jika dijadikan sebahagian manifesto Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata jika BN menang dan janji itu menjadi sebahagian manifesto, maka pimpinan Sarawak dan Sabah yang akan mencalonkan nama untuk mengisi jawatan berkenaan.

“Kalau perkara ini ada dalam manifesto kita, tentu saja kita akan pastikan ia dilaksanakan. Bagaimanapun, tunggu kita menang dulu dan lepas itu kita bincang.

“Tentu saja kalau kita teruskan dengan cadangan dan manifesto ini, kita akan dapatkan nama. Kalau wakil sabah, (pimpinan) Sabah akan beri nama dan kalau wakil Sarawak, kerajaan Sarawak akan beri nama pada kita. Kita akan bincanglah

“Tapi tunggulah. Kamu semua kena undi kita dululah baru kita akan laksanakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Ekspresi@FINAS di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada BN sudah memiliki calon untuk mengisi jawatan tiga Timbalan Perdana Menteri mewakili Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Ia susulan janji disuarakan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam yang memberi jaminan tiga jawatan itu akan diwujudkan sekiranya BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan dalam PRU15.

Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang menyifatkan cadangan tiga Timbalan Perdana Menteri sebagai janji ‘mi segera’ oleh kumpulan terdesak untuk meraih undi, Ismail Sabri bagaimanapun enggan melayan pandangan berkenaan.

“Itu pandangan Pas. Biarlah Pas dengan pandangan dia dan kita dengan pandangan kita,” katanya.

Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, cadangan itu hanya janji politik sekadar bagi memenuhi permintaan parti politik Sabah dan Sarawak, dan jawatan itu tidak perlu disandarkan kepada keperluan pembangunan sesuatu wilayah.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri ketika ditanya sama ada kerajaan akan memberi bantuan kepada pelajar di Sabah dan Sarawak yang mahu pulang mengundi di Semenanjung, memaklumkan kerajaan akan meneliti perkara berkenaan.

Related posts

Leave a Comment