“Saya diaib, dimalukan, ditelanjangkan”

SHAH ALAM 23 Sept. – “Saya telah diaibkan, saya telah dimalukan, malah saya telah ditelanjangkan dengan pelbagai tanggapan,” Itu reaksi bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya telah dihukum terlebih dahulu oleh ‘the court of public opinion’,” katanya selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam, membebas dan melepaskan Ahmad Zahid selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie bagi kesemua 40 tuduhan terhadap beliau.

Ahmad Zahid menyifatkan sejak hari pertama dituduh menerima suapan berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), Presiden UMNO itu yakin bahawa beliau tidak pernah melakukan perkara tersebut.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini sekali gus membetulkan tanggapan salah atau ‘hukuman yang dijatuhkan’ oleh pandangan umum terhadapnya sepanjang perbicaraan rasuah berhubung sistem VLN berlangsung.

Ahmad Zahid juga menambah, beliau yakin keputusan yang dibuat hari ini telah diteliti oleh hakim melalui perundangan yang adil.

“Tentunya saya berasa bahawa apa juga telah dipertuduhkan, saya harus reda dengan ujian yang telah ditimpa ke atas saya.

“Namun saya istiqamah dan amat yakin bahawa pertuduhan-pertuduhan itu tidak pernah saya lakukan dan saya amat yakin selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, bahawa ini adalah kejayaan perjuangan BN dan UMNO,” katanya kepada pemberita di pekarangan mahkamah.

Beliau bersyukur hari ini menyaksikan segalanya dan perundangan telah ditegakkan demi kebenaran.

Ahmad Zahid turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak pembelaan yang mewakili,  Hisyam Teh Poh Teik, Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh kerana melakukan tugas dengan cemerlang.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 tuduhan menerima suapan SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Related posts

Leave a Comment