Bersih gesa terus penggal Parlimen ke-14

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa semua parti untuk mewujudkan konvensyen perlembagaan iaitu ‘Parlimen Berpenggal Tetap’ dengan meneruskan Parlimen ke-14 sehingga 15 Julai 2023.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bersih berkata, melalui ‘Parlimen Berpenggal Tetap’, setiap Parlimen akan bertahan sehingga penghujungnya dan pembubaran dibenarkan dalam dua keadaan.

Pertama, apabila kerajaan hilang keyakinan di Parlimen dan kedua, apabila  dua pertiga Parlimen bersetuju untuk pembubaran awal.

“Melalui ‘Parlimen Berpenggal Tetap’, tarikh pilihan raya biasanya adalah tetap. Ini akan menyumbang kepada kestabilan politik dengan tidak menggalakkan percubaan politik dan pengiraan yang singkat.

“Ini juga akan memudahkan orang ramai, terutamanya anggota polis, guru dan penjawat awam yang lain yang terbabit dengan pengurusan pilihan raya, malah wartawan juga, dalam merancang percutian,” kata kenyataan itu.

Jawatankuasa Pemandu Bersih, berkata pihaknya menolak desakan pilihan raya awal sebagai alat untuk mencampuri proses kehakiman, justeru kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob wajar berkhidmat hingga hujung penggal.

BersIh was-was dengan pembentangan Belanjawan 2023 yang dibawa ke depan selama tiga minggu pada 7 Oktober, menimbulkan spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan secara tidak bertanggungjawab keesokannya bagi memancing undi dengan tawaran mengiurkan tetapi tiada jaminan dalam belanjawan yang tidak diperbahaskan.

Jawatankuasa terbabit turut menggesa Perdana Menteri berdiri teguh dengan janji beliau untuk tidak mencampuri urusan kehakiman dengan menolak desakan PRU-15 diawalkan.

“Mandat beliau adalah daripada Parlimen dan bukannya UMNO. Perdana Menteri perlu segera melaksanakan reformasi utama bagi melindungi Malaysia daripada kleptokrat.

“Paling mustahak adalah pemisahan Pejabat Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menghapuskan pendakwaan terpilih dan kekebalan pendakwaan oleh Peguam Negara yang juga lantikan politik, di mana keputusannya mungkin dipengaruhi oleh pertimbangan politik,” kata kenyataan itu.

Sekain itu, reformasi lain yang mendesak adalah seperti undang-undang pembiayaan politik yang akan memberikan pendanaan awam kepada parti politik bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana kotor.

“Kami menyeru Perdana Menteri dan semua parti bekerjasama bagi membawa lebih banyak reformasi institusi yang diperlukan untuk kestabilan politik antara sekarang hingga 15 Julai 2023,” katanya.

Related posts

Leave a Comment